PETALING JAYA: Petronas, Mitsui O.S.K. Lines, Ltd. (MOL) danShanghai Merchant Ship Design & Research Institute (SDARI) menerima empat kelulusan secara prinsipal (AiP) untuk membangunkan bersama pembawa karbon dioksida cecair (LCO2).
Selain itu, kelulusan tersebut juga melibatkan unit penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) LCO2.
Kelulusan tersebut diberikan badan klasifikasi, Det Norsk Veritas AS (DNV) dan American Bureau of Shipping (ABS) dan AiPs menunjukkan semakan telah dibuat serta kelulusan diberikan kerana memenuhi keperluan teknikal dan kriteria keselamatan.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, pembawa LCO2 untuk pengangkutan CO2 memainkan peranan penting dalam rantaian nilai penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
“Penerimaan AiP mengukuhkan lagi komitmen Petronas dalam menyediakan penyelesaian penyahkarbonan, sejajar dengan aspirasi kami untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju Hab CCS di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Urusan Kanan MOL, Nobuo Shiotsu berkata, MOL gembira dengan pencapaian mereka dalam pelbagai reka bentuk pembawa LCO2 dan FSO dengan kerjasama Petronas dan SDARI.
“Pembangunan secara besar-besaran merupakan langkah penting bagi rantaian nilai CCS dalam rantau Asia Pasifik dan Oceania.
“Melalui AiP yang baru diperoleh, MOL akan mempercepatkan lagi inisiatif ini dalam perniagaan pengangkutan CO2 sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) keseluruhan masyarakat,” ujarnya.
Dua AiP daripada DNV adalah untuk pembawa LCO2 jarak dekat dengan kapasiti 14,000 m3 dan pembawa LCO2 jarak jauh dengan kapasiti 87,000 m3.
Sementara itu, dua AiP lain daripada ABS adalah untuk pembawa LCO2 87,000m3 dengan Sistem Kedudukan Dinamik dan 96,000m3 LCO2 FSO untuk storan perantaraan.
Pembawa LCO2 14,000 m3 itu kini merupakan reka bentuk terbesar di dunia dengan AiP untuk keadaan suhu sederhana dan tekanan sederhana, manakala pembawa 87,000 m3 LCO2 dan 96,000m3 LCO2 FSO kini merupakan reka bentuk terbesar di dunia dengan AiP untuk keadaan suhu rendah dan suhu rendah. – UTUSAN










