PETALING JAYA: Kerajaan perlu serius dalam menangani krisis kejatuhan ringgit kerana ia memberi impak besar kepada institusi perniagaan tempatan terutamanya yang berkaitan dengan sektor import.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berpendapat, ia dapat dilakukan dengan memanggil beberapa pakar-pakar daripada pelbagai sektor yang berada dalam swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkenaan untuk berbincang bagi mencari punca dan solusi kepada kejatuhan nilai mata wang.
Ujarnya, isu ini perlu ditangani secepat mungkin sebelum ia menjadi parah dan memburukkan lagi ekonomi negara.
“Ini kerana, kejatuhan ringgit memberi kesan yang drastik kepada beberapa industri di Malaysia terutamanya dalam sektor import dan eksport sekali gus memberi kesan yang ketara kepada para peniaga.
“Nilai kos barangan import meningkat sekali gus memaksa peniaga untuk mengeluarkan perbelanjaan yang lebih besar terhadap sesuatu barangan kerana mereka terpaksa menyerap kos kenaikan barangan tersebut.
“Kos yang lebih tinggi ini akan menyebabkan peniaga terpaksa mengurangkan jumlah barang yang diimport atau terpaksa menaikkan harga produk mereka untuk menampung peningkatan kos,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, ringgit dibuka pada paras 4.6435/6470 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.6430/6470 pada penutup kelmarin, sebelum ditutup pada ……
Isu kejatuhan nilai ringgit sudah bermula sejak 2022 lagi apabila nilai ringgit pernah susut sehingga RM4.75 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), namun kembali meningkat kepada RM4.25 pada Januari 2023 sebelum ia terus menyusut pada kadar RM4.64 pada Jun 2023.
Kejatuhan ini memberikan impak yang besar kepada sektor import negara apabila kadar import negara berkurang sebanyak RM 1.9 Bilion pada Mac iaitu penyusutan sebanyak 1.8 peratus bagi kadar import negara bagi bulan yang sama pada 2022
Selain itu, Norsyahrin, peningkatan harga barang akan menyebabkan permintaan terhadap sesuatu produk merosot dan apabila kuasa membeli berkurang, peniaga terpaksa menampung kerugian terhadap kos produk yang telah dikeluarkan, seterusnya mendorong kepada penurunan jumlah jualan syarikat mereka.
“Hal yang berbeza mungkin dirasakan oleh peniaga yang menjalankan perniagaan mengeksport produk kepada pasaran luar negara. Golongan ini mungkin akan mendapat manfaat daripada kejatuhan ringgit.
“Kesan kepada peniaga yang terlibat dalam sektor pelancongan juga mungkin dapat dilihat ketika kejatuhan ringgit. Nilai mata wang yang lemah dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang bercuti ke Malaysia disebabkan oleh kos lawatan ke negara kita menjadi lebih murah berbanding sebelum kejatuhan ringgit.
“Ini memberi peluang keemasan kepada peniaga dalam industri pelancongan dan perhotelan untuk meningkatkan pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN