Tarikan pulau kecil di Mikronesia

Tarikan pulau kecil di Mikronesia

TARIAN dan pakaian tradisional masyarakat Chamorro.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke sini, saya sudah jatuh cinta pada Guam, sebuah pulau di bawah pentadbiran Amerika Syarikat (AS).

Guam yang sebelum ini hanya dikenali daripada nama, hakikatnya mempunyai keistimewaan sendiri untuk dilawati.

Apatah lagi dengan kedudukannya yang boleh dikatakan tidak terlalu jauh dari Malaysia dan tanpa memer­lukan visa sebagaimana di kawasan lain di AS.

Penerbangan dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat Philippines Airlines mengambil masa selama lapan jam iaitu empat jam dari Kuala Lumpur ke Manila dan bakinya dari Manila ke Guam.

Tempoh itu tidak terlalu lama jika dibandingkan dengan destinasi AS yang lain.

Memahami Guam secara keseluruhan tidak sukar kerana pulau kecil ini terletak dalam rantau Mikronesia, menjadikannya pulau paling selatan dalam Kepulauan Mariana serta merupakan wilayah milik AS yang paling hampir dengan Asia.

Selain itu, Guam memiliki cuaca beriklim tropika sepanjang tahun yang sekali gus membuatkannya begitu dekat dengan masyarakat Asia Tenggara.

Ketika tiba di Guam, boleh dikatakan hampir setiap hari hujan dan musim tersebut biasanya berlaku pada Julai sehingga November.

Jadi, tempoh ini tidak sesuai untuk berkunjung ke sini.

Bagaimanapun, aktiviti yang sudah menjadi kebiasaan di Guam termasuk aktiviti air tetap diteruskan dan tidak seperti mana pulau di Malaysia yang tutup pada bulan tertentu akibat cuaca.

Saya perhatikan, Guam ada laut yang cantik dan sangat sesuai untuk melakukan aktiviti snorkeling atau selam skuba.

Saya turut difahamkan terdapat beberapa lokasi menyelam di sini antaranya di Tokai Maru dan SMS Cormoran.

Cuma, saya tidak berkesempatan untuk ke lokasi ini, tetapi saya percaya ia merupakan permata tersembunyi yang perlu diterokai bagi penyelam skuba.

Bagaimanapun seandainya kedua-dua aktiviti berkenaan terlalu ekstrem, jet ski atau parasailing antara pilihan lain yang ada.

‘Hilang’ jantung jadi juruterbang

Saya tidak pernah memandu pesawat. Kalau ada pun hanya pengalaman duduk di kokpit dan bukan memegang alat kawalan utama bagi menggerakkan pesawat.

Tetapi di Guam, saya berpeluang merasai pengalaman yang cukup bermakna.

Paling penting pengalaman dua dalam satu iaitu merasai pengalaman memandu pesawat Cessna dan meninjau Guam dari sudut pandang atas, yang betul-betul membuatkan saya kagum terhadap pulau ini.

Tidak dinafikan, ada juga rasa takut sebelum menaiki pesawat kecil tersebut lebih-lebih lagi dengan keadaan hujan dan cuaca yang tidak berapa baik.

Bayangkan berada di ketinggian antara 3,000 sehingga 5,000 kaki dengan tangan berada pada alat kawalan kapal terbang tersebut.

Tetapi, jangan takut sebab semua perkara keselamatan dan asas pemanduan akan diberitahu terlebih dahulu.

Lagipun, juruterbang sebenar kekal berada di sebelah. Perasaan takut juga akan hilang secara automatik sebaik duduk di kokpit pesawat.

Tambahan pula komunikasi antara juruterbang dan menara kawalan sepanjang penerbangan memberi pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

Itu belum lagi di saat berada di awan biru. Sesekali juruterbang melakukan manuver (gerakan) yang mencabar adrenalin agar merasai nikmat bergelar juruterbang sebenar.

Ada masa jantung bagaikan gugur seketika apabila juruterbang mengubah posisi pesawat yang seakan-akan menaiki roller coaster.

Semua pengalaman ini boleh dicuba di Aire Transport Service Guam.

Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keadaan cuaca dan kemungkinan penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan sangat tinggi ketika musim hujan.

Paling penting, ini pengalaman sekali seumur hidup yang perlu dicuba. Setelah selesai penerbangan, juruterbang juga akan diberikan sijil.

Cabaran ATV

“Kenapa macam kereta?” Itu suara hati saya apabila melihat rupa kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) di Guam, tidak seperti yang ada di Malaysia.

Sebenarnya, ATV yang disediakan di Guam mempunyai reka bentuk menyerupai kereta.

Ia dilengkapi stereng, tempat duduk berpenumpang dan sistem pacuan empat roda (4×4).

Kenderaan ini tergolong dalam kategori kenderaan lasak serbaguna (UTV) untuk mengharungi pelbagai bentuk muka bumi dalam trek yang disediakan.

Seandainya hujan, trek akan diselaputi lumpur dan itulah yang saya hadapi ketika mencuba aktiviti ini.

Tidak mengapa, sebabnya dengan jarak lebih 10 kilometer (km), saya dapat melihat kawasan bentuk muka bumi dan tumbuhan yang hampir sama di Malaysia.

Peserta mungkin boleh bertembung dengan haiwan liar seperti babi hutan ketika melepasi trek tertentu.

Paling menarik apabila melalui kawasan curam dan berbukit yang semestinya menuntut kemahiran pemandu.

Mungkin ada yang menganggap aktiviti ini sama seperti di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya saya dapat melihat lebih dekat flora dan fauna di Guam.

Kebudayaan peribumi Chamorro

Tidak ramai tahu Guam juga kaya dengan kebudayaan sebab penduduk asalnya, kaum Chamorro datang dari Asia Tenggara sekitar 1,600 sebelum Masihi (SM).

Kalau berkunjung ke sini, ada banyak penduduk yang mempunyai wajah tipikal orang Nusantara.

Bagaimanapun, Guam juga mempunyai ramai rakyat Filipina dan Jepun yang mencari rezeki di sana.

Untuk mengetahui tentang masyarakat Guam termasuk kisah sejarah, makanan, kebudayaan dan festivalnya, kunjungi sahaja taman ekopelancongan atau pusat budaya, Valley of Latte.

Masyarakat kita jarang didedahkan tentang Guam dan lebih banyak mengenali Hawaii atau Maldives.

Tidak mengapa. Anda boleh datang ke sini sekurang-kurangnya untuk sekali seumur hidup.

Guam ada tarikan tersembunyi yang perlu diterokai sendiri dan bukan hanya dengan membaca atau menonton rakaman video.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×