PETALING JAYA: Pelabuhan Yan muncul pelabuhan pertama di bahagian utara Selat Melaka yang mengendalikan dua buah kapal Very Large Crude Carriers (VLCC) di hab pelabuhannya.
Kedua-dua kapal VLCC yang didaftarkan di Hong Kong tersebut, masing-masing bersaiz 333 meter dan 330 meter dengan draf maksimum sedalam 21 meter, merupakan kapal terbesar yang dikendalikan di Pelabuhan Yan sehingga hari ini.
Menurut kenyataan MMC Ports, pemindahan kargo minyak mentah melalui operasi kapal-ke-kapal (STS) di antara kedua-dua kapal tersebut telah berjaya dilaksanakan pada 17 dan 18 Jun lalu di salah satu dari 10 kawasan berlabuh yang telah diluluskan.
“Kejayaan operasi pemindahan STS di Pelabuhan Yan ini adalah hasil daripada kajian simulasi teknikal yang menyeluruh, latihan komprehensif malim-malim kapal, penyediaan peralatan khusus dan kapal tunda daripada Kumpulan MMC Port Holdings Sdn. Bhd.
“Ia juga hasil penyertaan daripada pemain industri marin tempatan dan sokongan berterusan daripada pihak-pihak berkuasa seperti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara,” katanya dalam kenyataan itu.
Analisis marin yang menyeluruh turut dijalankan bagi memastikan semua aspek keselamatan, risiko tumpahan minyak, dan lain-lain bahaya operasi untuk memastikan operasi STS ini dijalankan selaras dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa marin tempatan, serta garis panduan Marpol Chapter 8, International Chamber of Shipping dan Oil Companies International Marine Forum (ICS/OCIMF), jelasnya.
MMC Ports berkata, Kumpulan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Andaman Port Sdn. Bhd. (Andaman Port) adalah penyedia perkhidmatan menyeluruh untuk operasi STS di Pelabuhan Yan.
“Aktiviti pemindahan STS ini dijalankan di lokasi khusus sejauh empat batu nautika dari persisiran pantai Pulau Bunting, Yan, Kedah.
“MMC Ports ketika ini sedang gigih memasarkan dan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan STS tempatan dan serantau untuk menjadikan Pelabuhan Yan sebagai destinasi pilihan utama untuk operasi STS bagi kargo jenis petroleum dan gas,” ujarnya.
Operasi STS seumpama ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan di bahagian utara Selat Melaka.
Dengan kedalaman air sehingga 27 meter sesuai bagi kapal VLCC untuk masuk berlabuh dan kedudukannya yang strategik di bahagian utara Selat Melaka, Pelabuhan Yan dijangka menjadi hab strategik dan pelabuhan utama bagi operasi pemindahan STS.
Ia juga menawarkan pilihan yang ideal untuk kapal-kapal besar beroperasi dan mengurangkan risiko yang perlu dihadapi ketika kapal-kapal ini berlayar merentasi Selat Melaka selain mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO). – UTUSAN










