PETALING JAYA: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharunya berkuat kuasa 22 Jun 2023.
Menurut kenyataan syarikat itu, Fauzi tidak asing lagi dalam industri rel Malaysia dan pernah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) antara 2018 dan 2021, menjadikannya mahir dalam pembangunan dan cabaran dalam industri.
Beliau juga mempunyai kerjaya yang cemerlang dan memegang pelbagai jawatan kanan dalam perkhidmatan awam dengan berkhidmat di pelbagai kementerian dan pernah menjadi Timbalan Menteri di Perdana Jabatan Menteri antara 1997 dan 1999.
Fauzi juga merupakan Ahli Parlimen (MP) Kuantan antara 1990 dan 1999 kemudiannya, MP Indera Mahkota antara 2013 dan 2018.
MyHSR Corp berkata, Fauzi akan memberikan bimbingan dan sokongan strategik kepada Lembaga itu sambil memastikan MyHSR Corp memenuhi aspirasi kerajaan untuk menswastakan sepenuhnya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, MyHSR Corp mengalu-alukan Fauzi sebagai Pengerusi dan yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau akan memandu syarikat dalam merealisasikan projek HSR.
“Sejajar dengan kami memulakan lembaran baharu projek ini, pengalaman luas dan kepimpinan yang bijak serta komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pertumbuhan positif akan mengukuhkan keazaman kami dalam membawa projek itu untuk mendatangkan manfaat negara dan rakyat,” katanya.
Selain pelantikan terbaharu tersebut, Fauzi juga mempengerusikan lembaga pengarah dua syarikat swasta.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Perlombongan dari Imperial College of Science and Technology, Universiti London. – UTUSAN










