PETALING JAYA: Malaysia Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang melancarkan program mengimbangi karbon secara sukarela.
Inisiatif itu membolehkan pelanggan individu dan korporat mengira, memahami dan mengimbangi pelepasan karbon yang dikaitkan dengan penerbangan mereka dengan menyokong projek mengimbangi karbon yang disahkan apabila menempah penerbangan melalui laman web syarikat penerbangan berkenaan.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama CHOOOSE, sebuah syarikat teknologi iklim terkemuka yang beribu pejabat di Norway.
Ia menandakan kejayaan dalam komitmen Malaysia Aviation Group (MAG) untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Kelestarian MAG.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, mewakili Malaysia, pihaknya berbangga memainkan peranan dalam mempercepatkan usaha seluruh industri untuk menyahkarbonkan industri penerbangan.
“Dengan pelancaran program ini, pelanggan Malaysia Airlines disediakan dengan ketelusan untuk mengurangkan jejak karbon mereka secara aktif dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.
“Kami secara kolektif mengambil langkah penting ke arah komitmen kami untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050 dan memastikan masa depan yang lebih mampan untuk semua,” katanya dalam kenyataan.
Melalui Program Offset Karbon, pelanggan Malaysia Airlines akan diberikan pendedahan ke dalam pelepasan karbon yang dijana oleh penerbangan mereka semasa proses tempahan.
Pelanggan diberikan pilihan untuk mengimbangi pelepasan mereka daripada penerbangan dengan menyokong projek karbon berkualiti tinggi yang diperakui oleh piawaian pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.
Dana yang dibayar untuk menangani pelepasan karbon pengembara akan digunakan untuk menyokong projek yang mengurangkan, menangkap atau mengelakkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam jumlah yang setara dengan jejak karbon yang dikira dalam perjalanan. – UTUSAN










