LAPORAN penilaian hartanah menjadi antara sandaran kepada pihak bank untuk meluluskan apa-apa permohonan pembiayaan hartanah.
Peguam hartanah daripada Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, ini kerana harga dalam perjanjian jual beli belum tentu mencerminkan nilai sebenar hartanah tersebut dalam pasaran.
Katanya, harga yang diletakkan dalam perjanjian itu mungkin lebih rendah atau lebih tinggi.
“Penilaian hartanah amat diperlukan dalam urusan pembiayaan termasuk pembelian rumah subsale atau pembiayaan semula. Namun begitu, khidmat penilai hartanah tidak digunakan untuk pembelian rumah rumah dari pemaju.
“Pemaju boleh meletak harga yang diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pembiaya meluluskan pembiayaan berdasarkan harga yang dinyatakan di dalam perjanjian jual beli,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, peguam jarang menasihatkan supaya menggunakan khidmat penilai hartanah untuk pembelian rumah subsale kecuali dalam kes-kes tertentu.
“Lantikan penilai secara rasmi akan dilakukan oleh bank dan kos dibayar oleh pembeli secara sendiri atau melalui pembiayaan yang diberi sekali oleh bank.
“Laporan penilaian hartanah adalah antara syarat utama sebelum pihak bank mengeluarkan jumlah pembiayaan dan nilai yang diberi hendaklah tidak lebih rendah dari harga jual beli di dalam perjanjian jual beli atau pembiayaan akan di semak semula berdasarkan laporan penilaian,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nor Shazrin Ilyas, 34, berkata, pengalamannya menggunakan khidmat penilai hartanah ketika membeli rumah subsale membantunya membuat keputusan yang betul semasa proses pembelian itu.
Katanya, harga yang ditawarkan oleh pemilik asal ketika itu adalah lebih rendah daripada harga pasaran menjadikan pembelian tersebut berbaloi untuk tujuan pelaburan.
“Ketika saya mahu membeli rumah, peguam saya menasihatkan untuk mendapatkan khidmat penilai hartanah bagi mengetahui harga pasaran rumah tersebut dan sama ada harga yang ditawarkan pemilik mengikut pasaran.
“Penilai kemudian akan pergi ke rumah tersebut dan membuat penilaian. Selepas penilaian dibuat dia memberitahu bahawa harga yang ditawarkan berbaloi, malah lebih rendah dari harga pasaran iaitu kira-kira lima peratus lebih rendah.
“Jadi, bagi pendapat saya, jika mahu membeli rumah subsale adalah baik untuk mendapatkan khidmat penilai supaya dapat mengetahui harga sebenar. Proses penilaian itu dibuat kira-kira dua hingga tiga minggu sebelum saya menerima laporannya.” jelasnya. – UTUSAN











