PETALING JAYA: Kuala Lumpur merupakan lokasi ke-35 paling mahal untuk pekerja luar negara di Asia, dan ke-175 paling mahal di seluruh dunia.
Ia berdasarkan penemuan penyelidikan kos sara hidup terkini yang diterbitkan oleh ECA International, penyedia pengetahuan, maklumat dan perisian terkemuka dunia untuk pengurusan dan penugasan pekerja di seluruh dunia.
Bahagian lain di Malaysia juga mengalami sedikit penurunan dalam kedudukan tersebut, termasuk George Town di tangga ke-189, Kota Kinabalu (195) dan Johor Bahru (198).
Sebaliknya, Singapura telah meningkat lapan tempat dalam kedudukan kos sara hidup ECA untuk menjadi lokasi kelima paling mahal di dunia untuk ekspatriat, menandakan kali pertama berada dalam lima teratas.
Pengarah Serantau – Asia di ECA International, Lee Quane berkata, kejatuhan banyak lokasi Asia dalam kedudukan itu boleh dikaitkan sebahagiannya dengan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding wilayah lain yang termasuk dalam penyelidikan.
“Bagaimanapun, beberapa lokasi menentang aliran ini antaranya peningkatan Singapura yang amat ketara.
“Peningkatan permintaan untuk penginapan sewa di negara itu didorong oleh faktor seperti kelonggaran sekatan Covid-19 sebelum ini berbanding lokasi utama lain di rantau ini, tidak dipadankan dengan peningkatan yang sepadan dalam bekalan penginapan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.
Hampir semua lokasi utama yang ditinjau di Asia telah mengalami penurunan dalam kedudukan, menunjukkan bahawa ekspatriat akan mendapati hidup di bandar-bandar Asia secara relatifnya lebih murah daripada seluruh dunia pada tahun lalu.
Seoul, Korea dan Yangon, Myanmar adalah antara yang terkecuali apabila Seoul naik satu tempat kepada kesembilan dalam kedudukan manakala Yangon naik empat anak tangga kepada 167.
Di Asia Tenggara, Singapura mengekalkan pendahuluan yang ketara dalam penarafan, seterusnya melebarkan jurang antara negara kota itu dan rakan serantaunya.
Bangkok, Thailand, bandar kedua termahal di rantau ini selepas Singapura, jatuh 13 tempat untuk menjadi lokasi ke-60 termahal di dunia.
Di tempat lain di rantau ini, Manila jatuh sembilan anak tangga kepada 75, manakala Jakarta turun 22 anak tangga kepada 114.
Hong Kong menamatkan kedudukan di carta pertama selama empat tahun sebagai bandar termahal di dunia kepada New York, tetapi kekal yang pertama di Asia. – UTUSAN










