PETALING JAYA: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, keputusan sama ada kontrak beliau akan disambung atau sebaliknya, ia merupakan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Tengku Muhammad Taufik, buat masa ini belum ada sebarang maklumat sama ada kontrak beliau yang akan tamat pada penghujung bulan ini akan disambung atau tidak.
“Keputusan (untuk perbaharui atau tidak) adalah atas budi bicara Perdana Menteri,” katanya ketika ditanya pemberita berkenaan status kontrak beliau semasa sesi taklimat bersama Pengarang di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Petronas, Liza Mustapha.
Tengku Muhammad Taufik berkata: “Saya tidak mempunyai sebab untuk percaya kontrak saya tidak akan disambung kerana pemegang saham tidak pernah menyuarakan sebarang percanggahan atau ketidakpuasan.
“Jadi, saya tidak mempunyai apa-apa sebab untuk pergi.”
Untuk rekod, Tengku Muhammad Taufik dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pada 1 Julai 2020 selepas diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang sebelum itu Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. – UTUSAN










