PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menggesa Telegram bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengelak tindakan terhadap beberapa isu berkaitan keselamatan siber.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementerian telah memberi peluang kepada Telegram untuk berbuat demikian memandangkan platform media sosial itu telah menghubunginya baru-baru ini walaupun MCMC telah memberikan syor yang sangat tegas.
“Saya telah menerima beberapa syor yang sangat tegas daripada MCMC tapi kita memberi ruang kepada Telegram untuk menghubungi MCMC kerana Telegram telah menghubungi pejabat saya (baru-baru ini).
“Maka, sekiranya ada kesediaan Telegram untuk duduk semeja dengan MCMC dan Bukit Aman, saya percaya isu sebaran bahan lucah, jualan dadah, scam dan maklumat palsu (di platform berkenaan) dapat diberi perhatian oleh Telegram,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan kempen Hour of Code sempena International Girls in ICT (GICT 2023), di sini.
Pada 3 Jun lalu, Fahmi berkata, kerajaan akan memastikan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atas Telegram tidak akan terlalu menjejaskan pengguna platform tersebut.
Beliau berkata, pihaknya sedar aplikasi tersebut banyak digunakan khususnya oleh komuniti tertentu seperti sekolah dan pengamal media untuk menghantar video dan imej. – UTUSAN










