PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, UEM Group akan menerajui inisiatif pembangunan negara melalui platform pelaburan hijau baharu bertujuan menarik pelaburan domestik dan luar negara.
Menurut Khazanah, platform itu akan menyasarkan pelaburan dan pembinaan perniagaan dalam sektor hijau seperti tenaga boleh diperbaharui dan storan, teknologi bangunan hijau dan kecekapan tenaga,dan ekosistem e-mobiliti.
Katanya, rancangan melalui platform itu adalah untuk memacu agenda penyahkarbonan negara di samping meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam sektor hijau dalam jangka masa panjang.
Platform itu juga diharapkan dapat membuka kunci nilai dalam portfolio sedia ada milik Khazanah dan mencapai pulangan komersial dengan membangunkan aset permulaan melalui pelaburan baharu dan bekerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa yang berpotensi tinggi.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, visi Khazanah adalah pembangunan platform pelaburan hijau yang berdaya saing di peringkat global di rantau ini dengan pendekatan pemilikan langsung dan aktif.
Katanya, ia akan dijalankan secara berperingkat dengan objektif permulaan jangka pendek untuk mewujudkan juara domestik hijau di negara ini diikuti dengan matlamat jangka sederhana untuk mewujudkan platform yang berdaya saing di peringkat serantau.
“Platform itu akan menjadi sebahagian penting daripada inisiatif pembangunan negara dan penciptaan nilai kami yang bertujuan untuk memacu agenda penyahkarbonan Malaysia dan kemampuan ekonomi.
“Ini sambil membina keupayaan industri hijau negara dan meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia untuk menyokong dan memperkuatkan industri-industri ini dalam menuju ke arah ekonomi baharu,” katanya.
Tambahnya, Khazanah melalui UEM Group akan melancarkan strategi komprehensif dalam masa terdekat, yang menggariskan rancangan pelaburan strategik serta perkongsian dan kerjasama dengan entiti tempatan dan asing.
“Ini termasuk pendekatan yang dirancang untuk menarik pelaburan hijau bagi mewujudkan ekosistem ekonomi hijau yang bertenaga dan dinamik.
“Kami mahu menyumbang ke arah aspirasi kerajaan dalam mewujudkan Malaysia sebagai pusat ketersambungan dan integrasi elektrik ASEAN untuk memudahkan perkongsian sumber tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan pelaburan dan menggalakkan pembangunan mampan di rantau ini,” katanya.
Jelasnya, perkara ini boleh dicapai melalui penyatuan usaha daripada syarikat-syarikatnya. – UTUSAN










