PETALING JAYA: JLand Group (JLG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MSA Resources Sdn Bhd (MSAR), penyedia infrastruktur telekomunikasi untuk menyediakan hubungan terus dari Sedenak Tech Park (STeP) ke Rangkaian Digital Lebuh Raya.
JLG yang merupakan cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation dalam kenyataan bersama MSAR berkata, skop kerjasama termasuk membina hubungan Pusat Data Saling Terhubung (DCI) di dalam dan luar STeP.
Katanya, rangkaian tersebut telah sedia untuk dihubungkan kepada Hab Singapura menerusi dwicapaian di Tambak Johor dan Link Kedua Tuas.
Infrastruktur gentian yang akan menghubungkan Johor ke sempadan Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini.
“Pembinaan talian tempatan ini bakal menyediakan saluran nilai tambah neutral yang tidak dimiliki syarikat pembawa dan juga memberikan keupayaan transmisi data yang lebih baik di seluruh negara, meliputi pusat-pusat data hiperskala yang utama.
“Menerusi usaha sama ini, kedua-dua pihak bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan STeP sebagai pusat data serantau di Asia Tenggara.
“Objektif MSAR di bawah MoU ini ialah untuk menyediakan hubungan dari STeP ke negara-negara jiran, dan secara global, menerusi sistem kabel bawah laut baharu dan yang disambungkan terus ke Johor,” katanya.
Pengarah Hartanah dan Infrastruktur, Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Sr Akmal Ahmad berkata, kerjasama dengan MSAR meluaskan keupayaan STeP yang sedia ada dengan melengkapkan hubungan dari sempadan ke sempadan.
Beliau berkata, usahasama itu juga dapat meningkatkan kepantasan dan pilihan rangkaian bagi para pengendali.
“Langkah ini memenuhi wawasan perkhidmatan STeP untuk menjadi hab pusat data yang pesat membangun dan berkembang maju bagi Gerbang Selatan Malaysia dengan menyediakan hubungan tahap kependaman rendah di antara hab-hab pusat data utama di rantau ini,” ujarnya.
Pengarah Urusan MSAR, Saiful Husni pula berkata, pihaknya teruja dengan potensi pembangunan STeP dan akan melabur RM66 juta untuk memenuhi keperluan hubungan digitalnya
“Di samping itu, semua hab pusat data utama di Semenanjung Malaysia akan dihubungkan sepenuhnya kepada rangkaian kami menjelang akhir 2023. – UTUSAN










