Inisiatif Kemudahan Rakyat tawar dana RM500 juta

Inisiatif Kemudahan Rakyat tawar dana RM500 juta

RAFIZI Ramli berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kemudahan Rakyat di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas skim Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menerima sambutan luar biasa, Kementerian Ekonomi melancarkan pula Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, skim baharu itu menawarkan dana permulaan sebanyak RM500 juta untuk projek prasarana kecil awam yang boleh dimohon orang ramai sendiri.

“Sebelum ini, ada tidak tahu di mana boleh dapat peruntukan baiki jalan rosak, longkang pecah dan lain-lain, tapi kini mereka boleh mohon IKR terus,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau melancarkan skim itu selepas menyertai sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Rosida Jaafar serta agensi kerajaan yang terlibat.

IPR dilancarkan Rafizi pada 26 Februari lalu diintegrasikan dengan Program Basmi Miskin Tegar melibatkan tiga kategori untuk pemohon berpendapatan bulanan kurang RM5,000.

Mengulas lanjut mengenai IKR, beliau menjelaskan bahawa projek baharu boleh juga dipertimbangkan kementeriannya dengan syarat kos dimohon tidak lebih RM200,000.

Sambil menyifatkan skim terkini itu sebagai bantuan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk pendemokrasian dana awam, beliau optimis banyak faedah akan dapat dinikmati rakyat.

“Kita jangka lebih 2,500 projek infrastruktur kecil awam bakal dapat dilaksanakan tetapi saya anggar sebahagian besar kerja sebegini kelaziman dalam sekitar RM30,000,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar pemimpin komuniti seperti ketua kampung atau pengerusi persatuan penduduk merebut segera peluang menerusi IKR demi manfaat ahli masyarakat.

Rafizi berkata, sebelum ini banyak aduan diterima mengenai kemudahan prasarana awam yang rosak tidak dibaik pulih ekoran pihak berkuasa tempatan tiada cukup peruntukan.

Begitu juga wakil rakyat ujar­nya, sering menerima keluhan mengenai fasiliti komuniti yang lambat dibina atau diselenggara disebabkan isu bajet agensi kerajaan tertentu telah habis.

IKR jelas beliau, turut memberikan peluang kepada ribuan kontraktor kecil kelas G1 yang sebelum ini dikenali kelas F, untuk kerja-kerja melibatkan peruntukan bawah RM20,000.

Orang ramai yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut dan memohon bantuan menerusi IKR, boleh menelusuri laman sesawang rasmi skim iaitu ikr.ekonomi.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN