KUALA LUMPUR: Pos Malaysia meminta kerajaan campur tangan bagi mewujudkan persekitaran dan persaingan yang lebih adil dalam industri kurier tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata,pihaknya telah membangkitkan enam atau tujuh perkara kepada pihak berkuasa untuk menambah baik industri berkenaan.
Kata beliau, antara perkara penting yang dibangkitkan ialah membabitkan jumlah lesen yang kini berjumlah lebih 120 syarikat dan disifatkan terlalu banyak, jika dibandingkan dengan negara lain seperti Thailand dan Indonesia.
Perkara lain membabitkan harga jualan, kerana ada syarikat luar yang menawarkan harga dianggap tidak munasabah misalnya, 99 sen untuk penghantaran hari sama, dan ia dibimbangi boleh menjejaskan masa hadapan industri.
“Bila harga jualan terlalu rendah, satu-satunya cara untuk pemain luar membuat untung ialah dengan membayar gaji lebih rendah pekerja mereka. Dalam tempoh 12 bulan lalu, banyak syarikat yang mengurangkan bayaran kepada penghantar mereka.
“Ini bermakna, pekerja hanya ada dua pilihan sama ada berhenti atau melakukan dua atau tiga kerja (untuk menampung hidup mereka). Keadaan itu tidak baik untuk keselamatan mereka.
“Kerajaan perlu campur tangan bukan kerana Charles Brewer, sebaliknya kerana (masa hadapan) industri. Ini kerana, apa yang berlaku kepada Nationwide, boleh juga berlaku kepada banyak syarikat lain. Malah, banyak syarikat kurier merekodkan kerugian. Masa depan industri kelam,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Brewer berkata, pihaknya sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang memahami masalah dihadapi oleh syarikat berkenaan.
Jelasnya, beliau juga memahami bahawa kerajaan perlu mewujudkan persekitaran yang menarik untuk pelabur, selain memberi lebih pilihan kepada pengguna. Namun, sesuatu perlu dilakukan kerana kesannya akan dialami oleh syarikat.
Dalam pada itu, beliau percaya usaha transformasi yang dilakukan oleh Pos Malaysia mampu mengukuhkan kembali kewangan syarikat perkhidmatan kurier nasional tersebut.
“Saya yakin syarikat akan kembali untung kerana semua segmen memberi pulangan kecuali segmen kurier dan peruncitan. Usaha sedang dilakukan untuk mengukuhkan kembali kedua-dua segmen berkenaan,” jelasnya.
Pos Malaysia merekodkan kerugian bersih yang lebih rendah kepada RM27.66 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM30.37 juta suku sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini, Pos Malaysia berkata, perolehannya turun kepada RM482.27 juta daripada RM484.35 juta sebelum ini berikutan perolehan perniagaan pos yang menyusut 13 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan perniagaan kurier yang merosot. – UTUSAN










