Industri farmaseutikal pindah kenaikan kos kepada pengguna?

Industri farmaseutikal pindah kenaikan kos kepada pengguna?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri farmaseutikal dijangka memindahkan kenaikan kos utiliti dan kadar upah buruh yang tinggi kepada pengguna melalui kenaikan harga jualan produk mereka, menurut penganalisis.

Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Chee Kok Siang dalam satu nota penyelidikan berkata, kenaikan surcaj elektrik dan ambang kelayakan untuk kerja lebih masa pekerja yang berkuat kuasa Januari lalu, telah meningkatkan perbelanjaan operasi tahunan syarikat farmaseutikal tempatan.

Katanya, sebagai contoh perbelanjaan operasi tahunan Apex Healthcare Bhd. (Apex) sebanyak RM2.1 hingga RM2.7 juta atau 2.2 peratus hingga 2.9 peratus daripada keuntungan bersih 2023.

Manakala bagi Duopharma Biotech Bhd. (Duopharma) perbelanjaan operasinya telah meningkat sebanyak RM12 juta hingga RM14 juta atau 11 hingga 13 peratus daripada keuntungannya tahun ini

“Apex sebelum ini telah menegaskan bahawa kumpulan itu akan menanggung kos operasi yang lebih tinggi dengan menaikkan harga produknya, manakala Duopharma pula akan mengurangkan perbelanjaan yang lebih tinggi dengan menyederhanakan harga bahan farmaseutikal aktif (API) dengan menaikkan harga produknya.

“Langkah menyalurkan semula kos kepada pengguna dan menetapkan semula harga jualan ini boleh dilaksanakan kerana Malaysia tidak melaksanakan sebarang mekanisme kawalan harga ubat,” katanya dalam nota kajian.

Sementara itu,  Pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shamzaeffa Samsudin berkata, kenaikkan harga ubat dan produk farmaseutikal bakal melebarkan jurang akses kepada ubat-ubatan terutamanya dalam kalangan kelompok berpendapatan rendah dan miskin.

Kata beliau, akses yang tidak seimbang itu akan memberi implikasi kepada kesihatan umum secara keseluruhannya.

“Isu akses kepada penjagaan kesihatan sangat penting dalam memastikan kesaksamaan kesihatan di mana setiap individu mempunyai hak yang sama untuk mendapatkan kesihatan yang optimal tanpa mengira faktor sosioekonomi dan kemampuan kewangan mereka.

“Jadi kenaikan harga ubat atau produk farmaseutikal yang lain sememangnya akan memberikan kesan jangka panjang kepada akses ke atas barangan penjagaan kesihatan, termasuk ubat-ubatan,” katanya.

Menurut beliau lagi, perbelanjaan ke atas fasiliti kesihatan awam juga bakal terkesan memandangkan kos ubat secara relatifnya akan menjadi lebih mahal.

“Ini akan mengganggu bajet pembelian ubat di fasiliti-fasiliti terlibat dan peningkatan kos ubat juga secara umumnya akan mempengaruhi kedudukan fiskal kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat insurans dan juga rakyat keseluruhannya,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, harga ubat-ubatan keluaran syarikat farmaseutikal tempatan dijangka meningkat sekiranya ringgit terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh masa panjang.

Ia ekoran syarikat pengeluar produk farmaseutikal tempatan terpaksa menanggung kerugian disebabkan transaksi eksport bahan mentah menggunakan dolar AS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN