Fajarbaru meterai MoU bangun bandar perubatan di Pulau Pinang

Fajarbaru meterai MoU bangunkan bandar perubatan di Pulau Pinang

MAJLIS menandatangani perjanjian antara Fajarbaru dengan Penang Development Corporation untuk pembangunan bercampur di Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Penang Development Corporation (PDC) untuk membangunkan sebuah bandar perubatan dan hab pembangunan bercampur di Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pembangunan yang secara tentatif dinamakan Medi-City Bandar Cassia tersebut dicadangkan dibangunkan di kawasan seluas 93 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, bandar perubatan itu bakal mewakili satu peristiwa penting dalam evolusi penjagaan kesihatan dan teknologi, menghimpunkan minda yang cemerlang, infrastruktur terkini dan ekosistem yang kondusif untuk penyelidikan dan pembangunan.

Katanya, Medi-City Bandar Cassia akan berfungsi sebagai hab perubatan yang menyediakan perkhidmatan eko-pelancongan dan perniagaan global dengan kemudahan termasuk hospital, kampus perubatan dan hab bekalan perubatan apabila siap nanti.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan bandar perubatan yang berintegrasi ke dalam komuniti, menyumbang kepada kesihatan, kesejahteraan dan ekonomi masyarakat sekeliling, di samping menarik pelancong perubatan dari seluruh dunia.

“Akhirnya, kami berhasrat untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab perubatan serantau dan global melalui Medi-City Bandar Cassia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, cadangan pembangunan syarikat termasuk elemen bukan perubatan, runcit, hotel, kediaman, hab komersial, komponen rekreasi dan sistem pengangkutan bersepadu.

“Dari segi infrastruktur pengangkutan, kami dapat memanfaatkan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, serta sistem infrastruktur yang dibina sebagai sebahagian daripada pembangunan Medi-City Bandar Cassia.

“Kami percaya kami telah merumuskan cadangan yang sangat strategik dan komprehensif yang akan meningkatkan lagi nilai tanah di Bandar Cassia,” ujarnya.

Tambahnya, cadangan pembangunan itu akan mewujudkan pelbagai jalan untuk pendapatan berulang jangka panjang untuk PDC dan seterusnya Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN