PETALING JAYA: Syarikat penerbangan komersial, SKS Airways Sdn. Bhd. (SKS Airways), melantik Dzuleira Abu Bakar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 15 September 2023.
SKS Airways dalam satu kenyataan berkata, Dzuleira akan mengambil alih jawatan berkenaan daripada pemangku CEO dan Pengarah Eksekutif semasa Datuk Rohman Ahmad.
Menurutnya, Rohman bagaimanapun akan kekal dalam lembaga pengarah SKS Airways sebagai Pengarah Eksekutif.
Dzuleira, yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) telah memberikan notis peletakan jawatannya.
Rohman mewakili pihak Lembaga Pengarah SKS berkata, syarikat berbesar hati serta mengalu-alukan pelantikan Dzuleira sebagai CEO baharu.
Beliau berkata, Dzuleira merupakan peneraju berwawasan dengan lebih daripada 20 tahun rekod prestasi cemerlang dalam modal teroka, keusahawanan, pelaburan dan industri teknologi.
“Beliau mempunyai keupayaan strategik dan organisasi yang luar biasa serta keberkesanan operasi yang terbukti.
“Kami berharap beliau dapat mempercepatkan potensi dan pertumbuhan penuh SKS Airways sebagai syarikat penerbangan serantau terkemuka yang memberikan pertumbuhan jangka panjang dan nilai untuk semua pemegang saham kami,” katanya.
Sementara itu, Dzuleira berkata beliau berbesar hati dilantik sebagai CEO SKS Airways dan menzahirkan rasa teruja dengan visi pemegang saham untuk SKS Airways.
“la adalah masa yang sesuai untuk berada dalam industri penerbangan dan saya teruja dengan visi pemegang saham untuk SKS Airways.
“Terdapat banyak potensi dalam SKS Airways dan saya tidak sabar untuk menerajui syarikat penerbangan itu,” jawabnya ringkas. – UTUSAN










