PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad menyasarkan untuk mengembangkan lagi produk keluarannya di Singapura sejajar dengan komitmen terhadap keterjangkauan dan keboleh capaiannya sebagai sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka negara.
Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, buat masa ini terdapat sebanyak 78 produknya dijual di Singapura terdiri daripada produk berlandaskan etika dan penjagaan kesihatan pengguna.
Menurut beliau Duopharma Biotech turut aktif di dalam segmen pasaran pengamal perubatan am swasta (GP), hospital peruncitan, kerajaan dan lain-lain di Singapura.
“Melihat ke hadapan, kami menyasarkan untuk mengembangkan portfolio kami di Singapura dengan memperkenalkan barisan biosimilar, makanan kesihatan berasaskan tumbuh-tumbuhan lestari dan kosmetik.
“Kami juga bercadang untuk menambah segmen lain seperti peranti perubatan, integrasi digital komersial, penyelesaian penjagaan kesihatan inovatif, telepemasaran dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Leonard Ariff berkata, pembukaan pejabat serantau Duopharma Biotech di German Centre, Singapura membuktikan komitmennya terhadap pasaran negara tersebut di samping mengukuhkan lagi kedudukan syarikat farmaseutikal itu di rantau ii.
“Pejabat di Singapura ini memainkan peranan penting dalam merekodkan jejak serantau dan antarabangsa Duopharma Biotech selain memacu aktiviti dan peluang perniagaan.
“Walaupun Duopharma Biotech telah berkembang ke Filipina pada 2007 dan menubuhkan anak syarikat milik penuh di Indonesia pada April 2023, Singapura kekal sebagai hab utama bagi syarikat kami,” katanya.
Tambah beliau lagi, objektif utama Duopharma Biotech adalah untuk memastikan syarikat tersebut memenuhi keperluan pesakit dan pengguna dengan memastikan produk keluarannya sentiasa tersedia, boleh diakses dan mampu dimiliki.
“Untuk manfaat tambahan kepada pesakit dan pengguna Muslim kami, semua produk yang dikeluarkan di fasiliti kami disahkan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Malah, Duopharma Biotech ialah pengeluar pertama ubat kanser yang disahkan halal pertama di dunia,” katanya. – UTUSAN










