Defisit perdagangan perkhidmatan mengecil kepada RM56.4 bilion - Utusan Malaysia

Defisit perdagangan perkhidmatan mengecil kepada RM56.4 bilion

DEFISIT dalam perdagangan perkhidmatan Malaysia mengecil kepada RM56.4 bilion berbanding tahun sebelumnya disokong oleh prestasi yang berdaya tahan pada perjalanan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Defisit dalam perdagangan perkhidmatan Malaysia mengecil kepada RM56.4 bilion berbanding tahun sebelumnya disokong oleh prestasi yang berdaya tahan pada perjalanan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM berkata, jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM336.9 bilion pada 2022, menyumbang 18.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK pada harga semasa).

Jelasnya, defisit yang lebih rendah dalam perdagangan perkhidmatan Malaysia berbanding tahun sebelumnya masih lebih tinggi daripada paras pra-pandemik sebanyak defisit RM10.9 bilion pada 2019.

“Terdapat peningkatan ketara dalam eksport perkhidmatan berbanding import pada tahun 2022 iaitu peningkatan daripada RM88.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM140.3 bilion. Sementara itu, import perkhidmatan meningkat daripada RM153.7 bilion kepada RM196.7 bilion pada 2022.

“Perjalanan yang menjadi komponen utama bagi sektor perkhidmatan Malaysia sebelum pandemik, kembali pulih pada tahun 2022 dengan memainkan peranan penting dalam memacu prestasi perdagangan perkhidmatan negara.

“Eksport komponen ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dengan mencatatkan RM28.4 bilion, peningkatan yang ketara berbanding RM0.3 bilion pada tahun sebelumnya. Pada masa yang sama, import Perjalanan juga menunjukkan trend peningkatan, mencapai RM29.5 bilion berbanding RM15.2 bilion pada tahun sebelumnya.

“Namun begitu, meskipun terdapat pertumbuhan yang positif, nilai eksport dan import masih rendah berbanding kemuncak pra-pandemik iaitu masing-masing sebanyak RM82.1 bilion dan RM51.3 bilion pada tahun 2019.

“Oleh kerana pertumbuhan eksport lebih laju berbanding import, perjalanan mencatatkan defisit yang lebih rendah iaitu RM1.2 bilion berbanding RM14.9 bilion pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan.

Di samping itu, ujarnya, perkhidmatan pembuatan bagi input fizikal yang dimiliki oleh pihak lain juga menyumbang kepada pengurangan defisit dalam perdagangan perkhidmatan Malaysia.

Komponen itu mencapai lebihan sebanyak RM16.3 bilion, merupakan lebihan tertinggi yang pernah dicatatkan dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu.

Eksport komponen ini bernilai RM20.1 bilion, manakala import ialah RM3.9 bilion.

Mengulas lanjut mengenai komponen utama perdagangan dalam perkhidmatan, DOSM berkata, perkhidmatan perniagaan lain mengatasi perjalanan sejak 2019 dengan mendominasi eksport perkhidmatan pada 2022.

“Komponen ini mencatatkan nilai eksport sebanyak RM31.4 bilion dan import RM46.0 bilion yang menyebabkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM14.6 bilion pada 2022.

“Pengangkutan mencatatkan defisit sebanyak RM34.0 bilion pada 2022 disumbangkan oleh bayaran yang lebih tinggi yang dibuat dalam semua mod pengangkutan, terutamanya untuk aktiviti muatan. Eksport Pengangkutan melonjak sebanyak 55.4 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM25.6 bilion.

“Ini adalah hasil daripada pembukaan semula sempadan Malaysia kepada semua pelawat antarabangsa mulai 1 April 2022 yang telah merangsang pertumbuhan eksport pengangkutan penumpang udara sepanjang tahun 2022.

“Sementara itu, import Pengangkutan meningkat sebanyak 23.4 peratus daripada RM48.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM59.6 bilion,” katanya.

DOSM berkata, penggunaan digital menjadi semakin penting dalam pembangunan perniagaan yang dapat ditunjukkan oleh statistik perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat.

Kedua-dua eksport dan import komponen itu menunjukkan aliran menaik dalam tempoh lima tahun.

Eksport mencecah RM15.9 bilion dan import bernilai RM18.3 bilion pada 2022. Hasilnya, komponen ini mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM2.3 bilion pada 2022 berbanding defisit RM3.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Menjelaskan perdagangan perkhidmatan Malaysia dengan negara di seluruh dunia pada 2022, DOSM berkata, Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai destinasi utama bagi perdagangan perkhidmatan Malaysia.

Eksport ke USA bernilai RM36.7 bilion dan import RM56.6 bilion, masing-masing meningkat 34.9 peratus dan 55.8 peratus tahun ke tahun.

Malaysia mengeksport terutamanya dalam perkhidmatan pembuatan dan perkhidmatan perniagaan lain ke AS, manakala mengimport kebanyakannya dalam perjalanan dan perkhidmatan perniagaan lain.

Singapura merupakan negara kedua bagi eksport dan import yang masing-masing berjumlah RM34.6 bilion dan RM26.9 bilion.

Rakan dagang ketiga bagi eksport ialah Hong Kong dengan RM8.1 bilion, manakala bagi import ialah China RM16.6 bilion.

“Secara keseluruhan, perdagangan perkhidmatan Malaysia menunjukkan daya tahan dan kemajuan pada 2022.

“Sektor perjalanan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan positif dan mengecilkan defisit perdagangan.

“Dengan pembukaan semula sempadan sepenuhnya oleh negara-negara di seluruh dunia pada tahun 2022, terdapat jangkaan yang tinggi untuk pemulihan lebih pantas dalam eksport perjalanan untuk kembali menghampiri paras pra-pandemik.

“Kebangkitan semula dalam sektor perjalanan ini dijangka akan kembali menjadi pemacu utama sektor perkhidmatan di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada pengurangan defisit perdagangan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN