Audi Q3 Sportback, SUV bergaya dan berprestasi - Utusan Malaysia

Audi Q3 Sportback, SUV bergaya dan berprestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK akhir-akhir ini, pengeluar dan pengedar kereta sama ada tempatan atau pun luar negara berlumba-lumba memperkenalkan kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV). Kenderaan jenis ini mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa pada semua jenama yang berada di pasaran.

Ruang kelegaan antara permukaan dan tapak kenderaan pastinya tinggi, penggunaan roda yang besar yang sekurang-kurangnya 18 inci, dan menampilkan ciri-ciri mewah.

Audi Q3 Sportback turut menampilkan versi SUV terkini mereka dan memberi sedikit perbezaan berbanding SUV lain yang berada di pasaran iaitu menampilkan rekaan yang lebih sporty. Adakah ciri-ciri lain yang membolehkan Audi Q3 ini bakal menjadi idaman ramai? Mari kita kupaskan hasil daripada pandu uji saya.

FIZIKAL (KOSMETIK)
Tidak dapat tidak, Audi Q3 Sportback sangat menarik perhatian, rekaan yang begitu sporty, muda, dan terkini. Seseorang pencinta SUV boleh meletakkan kerusi di hadapannya yang sedang diparkir dan menikmati keindahan reka bentuk luarannya selama berjam-jam.

Jika dimulakan dari bahagian hadapan, gril hadapan yang besar serta berwarna hitam dan disulami rekaan kotak-kotak berbentuk oktagon yang menyerupai sarang lebah. Lampu hadapannya yang agak tirus, lengkap dengan lampu DRL yang memberikan rupa ‘garang’ terhadap Q3 ini. Melangkah ke bahagian sisinya pula, reka bentuk seolah-olah sebuah kereta jenis “Coupe” iaitu sebuah reka bentuk kereta sedan sport atau kereta dua pintu.

Ini jelas ditunjukkan pada kecerunan ruang bumbung belakang yang menjanjikan aruhan angin dari depan ke belakang dengan lebih efisien. Roda bersaiz 19 inci turut menyerlahkan sifat-sifat konfiden dan ekstrovert (tidak segan menunjukkan kehebatannya). Bahagian belakang Q3 ini pula, dapat dilihat bumper belakangnya yang tinggi dan menampilkan warna kontra dengan warna badannya. Di beberapa bahagian Q3 ini tertampal logo S Line, mengesahkan bahawa ini adalah varian sport untuk menambah tarikan kepada pasaran.

Audi telah mengenal pasti akan trimming yang diperlukan adalah dalam warna hitam dan tidak lagi menggunakan chrome. Trend yang dilihat sudah mula berubah dalam cita rasa pemilik kenderaan masa kini sejak akhir-akhir ini.

RUANG DALAMAN DAN PEMANDUAN
Melangkah masuk ke ruang kabin Q3 ini, perasaan berada di dalam kenderaan mewah tidak dapat dinafikan. Bahagian papan pemuka menampilkan ciri-ciri kokpit yang begitu moden dan canggih. Sistem infotainmen yang menggunakan skrin sesentuh 10.25 inci yang ‘menjemput’ penggunanya memadankan alat peranti mereka dengan sistem Audi Q3 ini. Android Auto dan Apple Carplay sudah tentunya menjadi aplikasi utama untuk pemadanan sistem alat telekomunikasi anda.

Seterusnya, tempat duduk bersalut kulit dan dinding pintu yang berwarna hitam dan kelabu turut memberi kesinambungan kepada genre Q3 ini, namun saya masih tidak meminati konsep eksklusif atau eksekutif yang dikaitkan pada penggunaan kulit sebagai material yang menyaluti tempat duduk. Cuaca di negara kita ini jenis tropika dan memasuki kereta setelah diparkir bawah matahari agak menyiksakan terutama di tempat duduk.

Apabila anda menekan suis untuk menghidupkan enjin Q3 ini, deruman enjin yang lembut tetapi mendalam, jelas memberikan semangat dan perasaan yang ingin memacunya pada tahap lebih ekstrim. Tujahan kuasa enjinnya tidaklah terlalu hebat jika dilihat daripada enjin 2.0, tetapi sistem suntikan bahanapi secara terus dengan bantuan turbo jelas melonjakkan Q3 ini ke hadapan di saat diperlukan.

Audi Q3 Sportback ini sudah tentulah didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan elektronik seperti kebanyakan kenderaan-kenderaan SUV masa kini seperti bantuan pemanduan dalam lorong, bantuan pemberhentian kecemasan, bantuan parkir secara automatik, serta bantuan pengesanan halangan/kenderaan di kawasan titik buta pemanduan.

KEKURANGAN
Sudah tentu, tidak mudah memenuhi selera dan kehendak setiap pemandu, namun apa yang saya rasakan Audi Q3 sportback ini agak tertinggal ciri-ciri masa kini iaitu tidak mempunyai pengecas peranti tanpa wayar seperti kebanyakan model-model SUV lain. Begitu juga dengan pot pengecas alat peranti yang tersedia ialah jenis USB tetapi ianya memerlukan wayar jenis C ke C atau B ke B. Tiada pot untuk USB jenis A. Lebih mengecewakan, tiada pot untuk mengecas alat peranti untuk penumpang di barisan belakang dan ini agak menghairankan.

Kamera bantuan pemandangan kegunaan khas ketika mengundurkan kenderaan tidak pula mempunyai kebolehan pandangan 360 darjah dan hanya kamera pandang belakang sahaja. Ini juga adalah sesuatu yang pelik.
Sistem suspensinya juga sedikit mengecewakan kerana agak ‘keras’ dan tidak memberikan keselesaan yang sering didapati daripada SUV jenama lain, namun, mungkin atas dasar penjenamaannya yang berkonsepkan sport, maka sistem suspensinya agak sedikit keras.

KESIMPULAN
Audi Q3 Sportback ternyata sedap dipandang. Terutama pada pilihan warna biru laut atau Turbo Blue. kenderaan ini boleh didapati pada harga RM 360,223.60 termasuk cukai jalan, insurans dan kos pendaftaranm dan mampu membuat sesiapa sahaja menoleh memandangnya. Tepuk dada, tanyalah selera! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya