Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga dibentangkan tahun ini

Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga dibentangkan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang menggubal Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga, dengan tujuan mengawal selia kecekapan tenaga dan amalan pemuliharaan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, akta baharu tersebut akan disiapkan dalam tahun ini sebelum dibentang di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan kerjasama pelbagai kementerian.

“Kita masih lagi dalam proses menyediakan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga dan seperti yang saya katakan kita akan melihatnya secara dasarnya untuk mengukuhkan rangka kerja perundangan berkaitan kecekapan tenaga dan amalan pemuliharaan.

“Saya komited sepenuhnya untuk memuktamad dan melaksanakan rang undang-undang ini dalam mengoptimumkan penggunaan sumber dan meminimumkan kesan alam sekitar pembangunan ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Edisi Kedua Persidangan Perbankan Malaysia (MBC) – Perbankan dan Revolusi ESG: Melangkaui Aspirasi di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Akta Perubahan Iklim, Nik Nazmi berkata, rang undang-undang berkenaan sudah memasuki proses tender kepada syarikat perunding menggubal akta tersebut.

Jelas beliau, Akta Perubahan Iklim itu merupakan kerangka kerja komprehensif untuk semua bagi membolehkan negara mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Seperti yang saya katakan sebelum ini kita mahu ia ada proses timbang tara dan pada masa sama kita faham ia perlu disegerakan, jadi kita sedang siapkannya secepat mungkin.

“Ia sudah di dalam proses render dan sesiapa sahaja yang menang dan memperoleh render tersebut mereka akan membantu kementerian untuk membuat rundingan serta mendapatkan input daripada pihak berkepentingan,” katanya.

Tambah beliau Akta Perubahan Iklim itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam tempoh dua tahun memandangkan ia penting kepada negara bagi mengurangkan perubahan iklim dengan berkesan sambil menyesuaikan diri dengan kesannya.

“Ia akan menyediakan kerangka kerja yang komprehensif kepada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil untuk bekerjasama mengurangkan pelepasan GHG dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN