CYBERJAYA: Buat julung kalinya, pemilik kenderaan elektrik (EV) tidak perlu risau mencari lokasi stesen pengecas terdekat atau mengetahui baki tempoh jangka hayat perjalanan.
Ia susulan pelancaran sistem aplikasi raya yang amat bersepadu malah dianggap pertama kali seumpamanya di Malaysia dikenali sebagai Agmo Electric Vehicle Super App, hasil kerjasama Alibaba Cloud dan firma pakar penyelesaian aplikasi tempatan, Agmo Holdings Berhad.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kah yang hadir bagi menyaksikan majlis pemeteraian kolaborasi itu turut memuji inisiatif dilaksanakan antara dua firma berkenaan.
“Saya mewakili kerajaan memuji usaha sebegini kerana mereka memainkan peranan penting dalam membangunkan penyelesaian yang inovatif,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, Pengurus Besar Malaysia Alibaba Cloud, Kun Hung dan Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong bertukar-tukar dokumen pemeteraian kerjasama julung tersebut.
Aplikasi raya itu yang ketika ini sudah dilanggani lebih 3,000 pemilik EV tempatan akan memudahkan mereka mengesan hampir 1,000 buah stesen pengecas terdapat di negara ini.
Selain itu, ia juga membolehkan para pemandu terbabit mengetahui bekalan tenaga yang tinggal dalam kenderaan mereka sebelum habis selain pelbagai lagi kemudahan berkaitan.
Uniknya, majlis pemeteraian tersebut turut menyaksikan Alibaba Cloud memperkenalkan aplikasi raya kembar pertamanya di luar China, Enterprise Mobile Application Studio (EMAS).
Huang dalam ucapannya berkata, ia merupakan satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Agmo sebagai pelanggan antarabangsa pertamanya.
“Aplikasi ini akan memacu evolus EV seiring dengan isu teknologi awam terunggul kami dalam cabaran penyelesaian digital pelanggan serta mesra pengguna tempatan,” jelasnya.
Sementara Aik Keong pula berkata, pelancaran Agmo EV Super App menandakan pencapaian penting berterusan syarikat itu dengan pemain antarabangsa.
Kolaborasi itu ujarnya, bakal menjadikan Malaysia sebagai tumpuan pengeluar EV dari seluruh dunia untuk memasarkan model kenderaan sedemikian kepada rakyat di negara ini.
Tambahan pula, kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon menetapkan sasaran 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025. Pertambahan premis berkenaan akan menyaksikan kepentingan aplikasi yang berkaitan EV berpotensi besar dalam menjadi pilihan utama pengguna pada masa akan datang. – UTUSAN










