Untung Bursa Malaysia susut 17.4 peratus kepada RM56.2j

Untung S1 Bursa Malaysia susut 17.4 peratus kepada RM56.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Zakat (PAT) seba­nyak RM56.2 juta bagi suku pertama (S1) berakhir 31 Mac 2023, turun 17.4 peratus daripada RM68 juta yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Bursa Malaysia dalam kenya­taan berkata, penurunan PAT disebabkan terutamanya oleh penurunan 13.4 peratus dalam hasil operasi pasaran sekuriti kepada RM100 juta pada suku tersebut berbanding RM115.6 juta pada suku pertama 2022.

Sementara itu, jumlah per­belanjaan operasi meningkat 10.6 peratus kepada RM80.2 juta daripada RM72.5 juta pada 2022, disebabkan perbelanjaan pemasaran dan pembangunan, kos teknologi dan perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi.

Katanya, bagi suku dalam tinjauan, hasil operasi yang lebih rendah dalam pasaran sekuriti terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam hasil daga­ngan dengan purata nilai daga­ngan harian (ADV) untuk Dagangan Dalam Pasaran (OMT) dan Dagangan Perniagaan Langsung (DBT) mencatatkan RM2.3 bilion berbanding RM2.7 bilion pada suku sama tahun lalu.

Halaju dagangan menurun sebanyak lima mata peratusan kepada 31 peratus daripada 36 peratus pada suku pertama 2022.

Menurut Bursa Malaysia, perkhidmatan penyenaraian dan penerbit menurun seba­nyak 11.4 peratus kepada RM15 juta daripada RM16.9 juta pada suku pertama 2022, manakala perkhidmatan depositori merosot sebanyak 8.7 peratus kepada RM13.1 juta daripada RM14.4 juta pada tahun sebelumnya.

Untuk suku ke suku, hasil operasi pasaran derivatif mening­kat 13.5 peratus kepada RM28.3 juta daripada RM24.9 juta, terutamanya disebabkan oleh yuran persidangan dan pendapatan berkaitan pameran,yang meningkat kepada RM6.7 juta daripada RM1.5 juta pada 2022.

“Peningkatan ini disebabkan oleh bilangan peserta yang lebih tinggi yang menghadiri Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik 2023 yang diadakan pada bulan Mac.

“Walau bagaimanapun, Purata Kontrak Harian (ADC) Derivatif telah menurun sebanyak 7.9 peratus pada 71,366 kontrak berbanding 77,513 kontrak pada suku pertama 2022.

“Ini menyebabkan hasil dagangan Derivatif yang lebih rendah sebanyak 7.9 peratus kepada RM21.5 juta pada suku tinjauan daripada RM23.3. juta pada suku sama tahun sebe­lumnya,” katanya.

Sementara itu, dalam pasaran Islam, aktiviti dagangan yang lebih tinggi di Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) menghasilkan peningkatan 18.5 peratus dalam hasil dagangan kepada RM4.5 juta pada suku tersebut daripada RM3.8 juta pada suku sama tahun lalu.

Tambah Bursa Malaysia, segmen perniagaan data meneruskan momentum pertumbuhannya dengan hasil operasi meningkat 5.7 peratus kepada RM15.6 juta daripada RM14.8 juta pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, suku pertama 2023 adalah tempoh mencabar bagi pasaran modal disebabkan pelbagai faktor makroekonomi dengan ADV pasaran sekuriti kembali ke tahap pra pandemik berbanding suku pertama 2022.

“Bagaimanapun, pada asas suku ke suku, kami telah melihat peningkatan  PAT pada 14.6 peratus lebih tinggi daripada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, iaitu pada RM49 juta.

“Kami juga menyaksikan peningkatan ketara dalam penyenaraian dengan 10 tawaran awam permulaan (IPO) pada suku pertama 2023, dua kali ganda IPO yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

“Ini menunjukkan sentimen pasaran bertambah baik dan keyakinan syarikat pada Bursa Malaysia sebagai platform pengumpulan dana yang berharga,” ujarnya.

Mengulas prospek pasaran pada suku akan datang, Muhamad Umar berkata, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus pada 2023 mengukuhkan keyakinannya terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Ini memandangkan jangkaan permintaan domestik yang kukuh akan membantu menambat pertumbuhan ekonomi Malaysia di tengah ketidaktentuan luaran.

“Bagaimanapun, kebimbangan berterusan terhadap peningkatan kos sara hidup dan kos input mungkin memberi kesan kepada sentimen pengguna dan perniagaan, yang seterusnya boleh mempengaruhi volum dagangan dalam pasaran modal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×