PETALING JAYA: Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset, merekodkan keuntungan bersih (PAT) sebanyak RM2.27 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2023 (S1 TK23), peningkatan 10.7 peratus daripada tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) Maybank turut meningkat kepada RM3.06 bilion daripada RM2.98 bilion setahun lalu.
Menurut Maybank, keputusan yang stabil itu didorong oleh penambahbaikan berterusan dalam kualiti aset serta keuntungan perbendaharaan dan pasaran serta yang menyokong pendapatan operasi bersih Kumpulan.
“Walaupun keadaan persekitaran ekonomi global yang mencabar, pendapatan operasi bersih bagi suku tersebut meningkat kepada RM6.32 bilion, berikutan peningkatan 12.4 peratus tahun ke tahun dalam pendapatan bukan faedah (NOII) kepada RM1.53 bilion keuntungan disokong pendapatan derivatif dan pertukaran asing serta pelaburan dan perdagangan.
“Walau bagaimanapun, ini telah dilaraskan oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang rendah sebanyak 2.0 peratus di mana margin faedah bersih (NIM) turun 15bps tahun ke tahun akibat daripada persaingan deposit yang sengit.
“Kos overhed lebih tinggi pada RM3.05 bilion berbanding RM2.73 bilion setahun sebelumnya, hasil daripada peningkatan dalam kos kakitangan disebabkan peruntukan yang lebih tinggi untuk perjanjian kolektif kesatuan yang baru dimeterai, serta perbelanjaan IT, pemasaran dan berkaitan hasil,” katanya dalam kenyataan.
Maybank berkata, Kumpulan mencatatkan penambahbaikan dalam kualiti aset di mana kerugian rosot nilai bersih berkurangan sebanyak 50.9 peratus kepada RM292.9 juta pada Mac 2023. Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) turun sebanyak 45bps kepada 1.50 peatus daripada 1.95 peratus setahun sebelumnya dan 1.57 peratus pada December 2022 disebabkan oleh hapus kira, pemulihan dan pembentukan pinjaman baharu terjejas yang rendah.
Hasilnya, kadar caj kredit bersih Kumpulan berada pada 25bps manakala perlindungan kerugian pinjaman mengukuh kepada 133.5 peratus pada suku tersebut daripada 106.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dan 131.2 peratus pada December 2022.
“Kumpulan terus menjalankan usaha proaktif dengan pelanggan yang menghadapi cabaran kewangan dengan membantu mereka menguruskan komitmen mereka dengan berkesan,” katanya.
Maybank berkata, pinjaman kasar Kumpulan berkembang pada kadar lebih pantas sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun 31 Mac 2023, diterajui oleh peningkatan di Indonesia dan Malaysia masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan 5.1 peratus, manakala pasaran antarabangsa lain mencatatkan sedikit peningkatan 0.3 peratus.
Etiqa Insurance & Takaful pula mencatatkan peningkatan kukuh dalam PBT sebanyak RM237.9 juta untuk S1 TK23 berbanding RM14.0 juta setahun sebelumnya.
Maybank terus mengekalkan kedudukan modal dan mudah tunai yang teguh, dengan nisbah modal CET1 pada 15.09 peratus, dan jumlah nisbah modal pada 18.48 peratus, menjadikannya salah satu bank bermodal terbaik di rantau ini. Nisbah perlindungan mudah tunai Kumpulan pula berada pada 145.8 peratus iaitu kadar yang sihat, jauh melebihi keperluan kawal selia sebanyak 100 peratus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, keputusan suku pertama menunjukkan kekuatan dan daya tahan Maybank walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar di waktu tekanan inflasi yang tinggi dan pertumbuhan global yang lemah.
Kata beliau, Kumpulan akan terus berada pada landasan dan kekal teguh untuk mengharungi cabaran yang tidak menentu, disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh, serta rangkaian dan aliran pendapatan yang pelbagai untuk pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan.
“Pelaksanaan strategi M25+ kami sedang berjalan dengan baik, berlandaskan lima teras strategik utama iaitu mempergiatkan tumpuan pelanggan, mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, mengukuhkan perniagaan Maybank di seluruh rantau, memacu kedudukan kepimpinan kami dalam agenda kemampanan serta memperkuatkan kepimpinan global dalam Perbankan Islam.
“Ini adalah selaras dengan tujuan Menginsankan Perkhidmatan Kewangan di mana kami memberikan pengalaman pelanggan yang dipelbagaikan dan berkhidmat kepada masyarakat sebagai suatu unsur kebaikan di ASEAN,” katanya.
Info S1 TK23 (T-ke-T):
—————————–
*Pendapatan berasaskan dana bersih RM4.8b
*NOII naik 12.4% kepada RM1.53b
*Pendapatan operasi bersih meningkat 1.1% kepada RM6.32b
*Keuntungan operasi pra-peruntukan susut 7.1% kepada RM3.27b
*Kerugian rosot nilai bersih bertambah baik dengan ketara sebanyak 50.9%
kepada RM292.9 juta
*Keuntungan sebelum cukai lebih tinggi pada RM3.06b daripada RM2.98b
*Keuntungan bersih meningkat sebanyak 10.7% kepada RM2.27b – –UTUSAN










