PETALING JAYA: Untung bersih British American Tobacco (Malaysia) Bhd. (BAT Malaysia) merosot 22.95 peratus kepada RM40.32 juta bagi suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 2023 (S1 2023) berbanding RN52.29 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
BAT Malaysia dalam satu kenyataan berkata, penurunan berkenaan disebabkan hasil daripada jumlah kumpulan yang lebih rendah didorong oleh peningkatan dalam penggunaan vape serta tembakau yang berterusan di pasaran gelap.
Menurutnya lagi, margin keuntungan kasar turut jatuh kepada 22.3 peratus daripada 24.8 peratus pada S1 2022, dipengaruhi oleh penurunan dagangan dan tekanan inflasi.
Rentetan itu, syarikat berkenaan mengisytiharkan dividen interim pertamanya sebanyak 13 sen sesaham berjumlah RM37.1 juta yang perlu dibayar pada 26 Jun berbanding 17 sen yang dibayar dalam tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, meskipun berhadapan dengan cabaran ekonomi, pihaknya kekal optimis dengan prospek syarikat berkenaan bagi tahun 2023.
“Kami akan mengekalkan trajektori pertumbuhan jenama strategik dalam segmen Premium, Aspirational Premium dan Value-For-Money, selari dengan matlamat syarikat dalam pertumbuhan nilai hangus bagi menyokong pengurangan portfolio kategori pelbagai produk berisiko.
“Untuk tujuan ini, kami berhasrat untuk terus mengembangkan produk pemanasan tembakau kami, Glo, yang mewakili usaha kami untuk menawarkan pilihan alternatif berisiko rendah kepada perokok dewasa, disamping memberi tumpuan kepada pelaburan dalam jenama VFM kami dan mengekalkan kepimpinan dalam segmen Premium,” katanya.
Tambah beliau, BAT Malaysia yakin keadaan ekonomi semasa akan bertambah baik dalam jangka sederhana dengan melihat usaha kerajaan memperkenalkan peraturan seimbang mengenai vape dan mempercepatkan campur tangan dalam mengurangkan pasaran gelap tembakau. – UTUSAN










