PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Swiss Paraplegic Research (SPF) untuk menjalankan kajian penyelidikan mengenai kecederaan saraf tunjang.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penyelidikan itu tertumpu kepada tahap penjagaan, kualiti hidup dan pemulihan mereka yang pernah mengalami kecederaan saraf tunjang.
“Ia adalah inisiatif daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana Swiss Paraplegic Research, yang merupakan institusi penyelidikan terkemuka di Eropah, bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan penyelidikan pada skala antarabangsa.
“Kajian ini akan dijalankan di 42 negara termasuk Malaysia, yang mana di UMS penyelidikan itu diketuai oleh Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy sebagai pakar perubatan pemulihan dan Profesor Madya di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, UMS bersama beberapa pakar perubatan lain dalam bidang yang sama di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Dr. Kasim dan Pengarah SPF, Profesor Dr. Med. Gerald Stucki di Nottwil, Switzerland semalam.
Ia turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr Rosalam Sarbatly dan Pengarah Urusan SPF, Mirjam Brach.
Menurut Dr. Kasim, perjanjian yang ditandatangani itu juga akan menghasilkan kerjasama dalam pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi untuk meningkatkan keterlihatan UMS ke arah menyokong usaha antarabangsa dalam bidang penyelidikan kecederaan saraf tunjang.
Beliau berkata, antara kajian yang telah dibincangkan termasuk membangunkan pusat pemulihan luar bandar yang terletak di Beaufort, Sabah yang boleh digunakan sebagai kemudahan menjalankan penyelidikan pemulihan berasaskan kecerdasan buatan (pemulihan berbantu AI).
“Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk mengoptimumkan keupayaan mereka yang lumpuh dan kurang upaya agar dapat kembali bekerja dan menjalani kehidupan seharian dalam masyarakat.
“Sememangnya kajian ini amat bertepatan kerana ia dilihat selari dengan kemahiran penyelidikan UMS yang memfokuskan sumbangan universiti kepada masyarakat melalui pusat pemulihan kampung sebagai makmal hidup.
“Dengan inspirasi UMS sebagai pemimpin masyarakat yang berinovatif, saya yakin pusat ini boleh menjadi rujukan untuk membantu masyarakat luar bandar yang mengalami masalah fizikal dan kecacatan akibat kecederaan anggota badan untuk kembali bekerja.
“Secara tidak langsung, ini dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara serta mengurangkan beban kos kesihatan,” katanya.
Para penyelidik Swiss Paraplegic Research dijangka datang ke Sabah untuk tujuan penyelidikan pada awal 2024. – UTUSAN









