PETALING JAYA: Dua syarikat Rakan Usahawan PUNB, Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. dan Serai Group Sdn. Bhd. membuka restoran usahasama pertama mereka ‘Meet Bro Steakhouse’ di Paddington, London pada Jumaat lalu.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian restoran tersebut.
Pengerusi Interim PUNB, Datuk Mohammad Ismail berkata, Meet Bros Steakhouse adalah kerjasama julung kalinya di antara dua syarikat tersebut di bawah rangkaian restoran mereka yang terkenal, Me’nate Steak Hub, Serai dan Jibby & Co.
Katanya, kejayaan kerjasama di peringkat antarabangsa ini merupakan pencapaian penting buat kedua-dua syarikat ini dalam usaha untuk melakar satu lagi kejayaan membanggakan dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.
“Sepanjang mengusahakan perniagaan, mereka telah menunjukkan rekod prestasi yang kukuh dalam pembangunan dan pengendalian rangkaian restoran masing-masing. Ini telah melayakkan mereka untuk mendapat pelbagai pengiktirafan dan penghargaan daripada industri
F&B tempatan.
“Hasil kerjasama antarabangsa ini turut dijayakan PUNB melalui sokongan kewangan dan pembangunan. Kedua-dua syarikat ini sudah menjadi sebahagian Rakan Usahawan PUNB sejak 10 tahun lalu.
“PUNB turut berperanan menyokong mereka dalam mengembangkan perniagaan di peringkat tempatan dan akan terus menunjangi pengembangan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Meet Bros Steakhouse menawarkan kombinasi unik hidangan stik cita rasa Asia dan Barat dan terletak di lokasi strategik selain mempunyai akses mudah kepada pengangkutan awam seperti sambungan Stesen Kereta Api Paddington dan Stesen Tube London.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, kejayaan ini membuktikan komitmen PUNB dalam membantu usahawan meluaskan perniagaan dan meneroka pasaran baharu di peringkat antarabangsa menerusi Inisiatif Pengantarabangsaan.
Menurutnya, sejajar dengan transformasi baharu PUNB dengan tema, ‘Mencipta Semula PUNB, Laluan Menuju Kemampanan’ (R-25), PUNB komited dalam pembangunan strategik usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan dan perdagangan pengedaran di dalam dan luar negara.
“PUNB tidak mengkhususkan kepada industri tertentu untuk melebarkan sayap ke luar negara, sebaliknya peluang dibuka kepada semua Rakan Usahawan PUNB mengikut kesesuaian pasaran dan peluang yang ada.
“PUNB bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan serta badan professional untuk meneroka peluang perniagaan yang bersesuaian dengan Rakan Usahawan PUNB,” ujarnya.
Izwan berkata, untuk Inisiatif Pengantarabangsaan, PUNB menawarkan gabungan pembiayaan perniagaan bermula dari RM100,000 hingga RM10 Juta dan insentif padanan sehingga RM500,000 untuk syarikat Rakan Usahawan PUNB yang layak.
Katanya, selain memberikan bantuan pembiayaan perniagaan, turut PUNB menawarkan sokongan pembangunan termasuk pemantauan dan nasihat, latihan keusahawanan dan pembangunan serta pembangunan perniagaan. – UTUSAN