PETALING JAYA: Kumpulan Sunway (Sunway), Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) dan EV Connection Sdn. Bhd. (EV Connection), telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membina dan memasang stesen pengecas EV di premis, bangunan komersial dan kemudahan milik Sunway di seluruh negara.
Melalui kerjasama itu, Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn. Bhd., akan menjadi rakan kongsi pembangunan bersama stesen pengecas EV di perbandaran dan pembangunan bersepadu Sunway di seluruh Malaysia.
Perjanjian itu juga akan menyaksikan EV Connection bekerjasama dengan Sunway untuk mengenal pasti lokasi strategik bagi pemasangan stesen pengecas tersebut di perbandaran bersepadu Sunway dan pembangunan di seluruh Malaysia untuk mengurangkan kebimbangan jarak jauh.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, kenderaan elektrik (EV) semakin menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Bilangan EV yang semakin meningkat memerlukan rangkaian stesen pengecasan yang mantap di seluruh negara.
“Perkongsian ini adalah langkah konkrit ke arah matlamat tersebut. Di Sunway, kami amat percaya bahawa kami boleh berbuat baik dengan melakukan kebaikan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli berkata, MoU dengan Sunway dan rakan kongsinya EV Connection, adalah usaha berterusan Gentari untuk memacu penggunaan mobiliti hijau.
Ujarnya, kedudukan Sunway sebagai pemaju utama kedua-dua hartanah komersial dan kediaman di seluruh Malaysia, membolehkan Gentari membenarkan akses infrastruktur EV kepada lebih ramai pengguna di seluruh destinasi kediaman, tempat kerja dan rekreasi.
Pengarah Urusan EV Connection, Lee Yuen How pula berkata, perkongsian tiga pihak itu adalah usaha kolektif untuk menghimpunkan pemilik hartanah dan pengendali titik caj ke arah matlamat bersama untuk memacu revolusi mobiliti elektrik di rantau ini.
“Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripadanya dan berharap ia akan menjadi contoh ke arah lebih banyak kerjasama yang akan datang dan membina masa depan yang lebih bersih dan mampan,” katanya.
Di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2023, Malaysia menyasarkan EV dan kenderaan hibrid menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah volum industri menjelang 2030.
Selain itu, kerajaan menyasarkan untuk memiliki 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025.
Dengan kadar penggunaan kenderaan elektrik yang semakin meningkat dan kesedaran yang semakin meningkat untuk pilihan yang lebih mampan dalam kalangan rakyat Malaysia, perkongsian antara Sunway, Gentari dan EV Connection merupakan satu langkah ke arah matlamat yang dinyatakan kerajaan untuk menjadi ekonomi neutral karbon menjelang 2050.
Sejak 2015, Sunway telah menerima sepenuhnya 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG) dan mengambil komitmen terhadap agenda kemampanan pada 2021 dengan ikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan agenda negara. – UTUSAN










