PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memakumkan menutupan, stesen penyelidikannya di Belaga yang menjalankan kegiatan agronomi dan aktiviti penyelidikan dan kakitangan dipindahkan ke Stesen Penyelidikan MPOB Sessang.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penutupan operasi Stesen Penyelidikan MPOB Belaga adalah antara langkah MPOB bagi menjimatkan kos bagi pengurusan dan penyelenggaraan Stesen Belaga yang tinggi kerana keadaan topografi dan pulangan hasil buah tandan segar yang rendah.
“Stesen Penyelidikan MPOB Belaga yang terletak di daerah kecil Sungai Asap, Belaga, kira-kira 155 kilometer daripada Bandar Bintulu, ditubuhkan pada 2009 di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9)
“Stesen itu, dengan keluasan kompleks seluas 6.252 hektar mula beroperasi pada 2012,” katanya dalam kenyataan.
Walau bagaimanapun, katanya, operasi Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) yang ditempatkan di Stesen MPOB Belaga masih diteruskan dan dibuka secara berkala, dua hari seminggu bagi memberi perkhidmatan kepada pekebun kecil di kawasan sekitar Sungai Asap.
Pekebun kecil di Daerah Belaga juga katanya, boleh mendapatkan perkhidmatan Pegawai TUNAS untuk tujuan permohonan dan pembaharuan lesen di Pejabat MPOB di Bintulu.
“Di Daerah Belaga hanya terdapat satu Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dengan bilangan pekebun kecil seramai 1,937 orang dengan jumlah kawasan tanaman berkeluasan 9,731.9 hektar.
“Pekebun kecil yang menyertai SPOC dibantu oleh Pegawai TUNAS MPOB bagi melaksanakan amalan pertanian baik dan membantu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kebun sawit secara berkelompok,” katanya. – UTUSAN










