PETALING JAYA: Keuntungan bersih SP Setia Berhad (SP Setia) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (S1 2023) merosot 16.4 peratus kepada RM55.45 juta daripada RM67.5 juta tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, syarikat pemaju hartanah itu mencatat jualan yang membanggakan sebanyak RM1.03 bilion dengan pendapatan meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada RM967.67 juta S1 2023 daripada RM867.1 juta suku sama 2022.
SP Setia dalam satu kenyataan berkata, projek tempatan menyumbang RM903 juta atau 87 peratus daripada jualan, manakala projek antarabangsa sebanyak RM130.0 juta atau 13 peratus jualan.
Katanya, bagi pasaran domestik, sebahagian besar daripada jualan yang diterima disumbangkan oleh wilayah tengah sebanyak RM546 juta, manakala wilayah selatan menyumbang RM285 juta.
“Sehingga 31 Mac 2023, Kumpulan turut mencatatkan jumlah tempahan sebanyak RM512 juta dan ‘kekal komited terhadap pengubahan pantas tempahan ini kepada jualan,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai menzahirkan rasa gembira dengan pencapaian yang dicatatkan bagi S1 2023 sambil menyifatkan pencapaian itu mencerminkan penambahbaikan dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar dan sentimen pasaran.
Menurut Kai Wai, prestasi SP Setia dijangka kekal berdaya tahan dalam keadaan dan cabaran pasaran semasa, didorong oleh kedudukan jualan belum dibayar penuh berjumlah RM7.17 bilion, 45 projek yang sedang dijalankan dan baki simpanan tanah sebanyak lebih 3,018 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM128 bilion hingga 31 Mac 2023.
“Dengan jualan baik yang diperoleh pada suku pertama, kami optimis akan mencapai sasaran jualan RM4.2 bilion yang ditetapkan untuk tahun kewangan 2023,” katanya. – UTUSAN










