PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) memacu smart Malaysia ke tahap lebih tinggi dengan pelantikan strategik lima lagi pengedar berprestij dalam usaha menawarkan kecemerlangan automotif dan solusi mobiliti yang tercanggih.
Selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand, pelantikan tersebut dijangka akan meningkatkan jualan kenderaan elektrik (EV) berinovasi serba baharu syarikat.
Mereka terdiri daripada Smart Mobility Sdn. Bhd. (Smart Mobility), GB Auto Sdn. Bhd. (GB Auto), Eleganz Lifestyle Sdn. Bhd. (Eleganz Lifestyle), Lee Motors (Alor Star) Sdn. Bhd. (Lee Motors), dan Sigma Energy EV Sdn. Bhd. (Sigma Energy EV).
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, Smart melambangkan penyelesaian mobiliti EV premium yang menggabungkan teknologi terkini dan reka bentuk futuristik.
“Oleh itu, sangat penting bagi setiap pengedar yang kami pilih untuk memenuhi janji jenama kami dengan memberikan bukan sahaja perkhidmatan terbaik, tetapi juga pengalaman yang unik kepada setiap pemilik kenderaan smart,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebanyak tujuh pengedar telah dilantik bulan ini termasuk Hap Seng Smart dan Edaran Otomobil Nasional (EON) dalam usaha mendapatkan pelanggan yang berpotensi sebelum pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.
Jelasnya, lebih ramai rakan kongsi sedang dipertimbangkan untuk berkolaborasi dengan PRO-NET, termasuk syarikat yang berpengkalan di Pantai Timur di mana PRO-NET merancang untuk memperkenalkan jenama smart pada tahun hadapan.
Pelantikan pengedar baharu itu adalah sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk memperkenalkan jenama auto terbaru-premium, pintar dan elektrik sepenuhnya kepada pasaran tempatan, termasuk penubuhan pusat jenama smart serba baharu atau smart Space sebagai pusat sehenti untuk kemudahan dan penggunaan EV.
“Kami percaya kecemerlangan automotif EV bukan hanya sekadar memperkenalkan produk premium tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kami menggiatkan usaha untuk menjadi pencipta yang mampu memberi inspirasi dan teman pemanduan dalam bandar yang menyediakan pengalaman perkhidmatan premium yang baharu kepada para pelanggan dan mengalu-alukan mereka untuk turut sama mereka masa depan yang lebih baik.
“Kami sedang berusaha keras untuk memastikan ekosistem mobiliti EV kami dalam keadaan bersedia sebelum pelancaran smart #1 pada penghujung tahun ini dan kami akan sentiasa berkongsi berita mengenai perkembangan dan kemajuan yang kami capai dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” tambah beliau. – UTUSAN










