PETALING JAYA: Sapura Energy Bhd. (Sapura Energy) memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Sesyen bulan lepas, yang membenarkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendapatkan dokumen berkaitan gaji dan elaun dibayar kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd., Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Memetik laporan The Edge, notis rayuan bertarikh 25 April itu difailkan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Lailatul Zuraida Harron @ Haron pada 14 April lalu.
Dalam keputusan berkenaan, Lalatul Zuraida telah membenarkan permohonan penemuan pihak ketiga oleh Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Sapura Energy kemudiannya mengambil tindakan undang-undang selepas Lailatul Zuraida menetapkan 15 Mei untuk kedua-dua pihak memaklumkan mahkamah mengenai pematuhan mereka terhadap keputusannya.
Notis rayuan oleh Sapura Energy yang merupakan pihak yang terkilan dalam prosiding itu telah difailkan melalui Tetuan Rahmat, Lim dan Rakan Kongsi.
Rafizi berdepan saman fitnah daripada Shahril berhubung kenyataan yang diterbitkan dalam tiga artikel melalui akaun media sosialnya sebagai reaksi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Rafizi, Najib telah meminta kerajaan menyelamatkan Sapura Energy dengan menyuntik lebih banyak dana ke dalam syarikat minyak dan gas berkenaan.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR membangkang pandangan Najib untuk terus menyelamatkan Sapura Energy, dengan mendakwa bahawa dana awam tidak sepatutnya digunakan untuk melindungi golongan elit.
Dalam pembelaannya terhadap saman itu, Rafizi mendakwa beliau wajar membangkitkan perkara itu, dan imbuhan Shahril ketika berkhidmat sebagai CEO tidak setimpal dengan prestasi kewangan Sapura Energy.
Rayuan itu dikemukakan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof pada Rabu (3 Mei). – UTUSAN










