PETALING JAYA: Ringgit melepasi paras terendah dua dekad berbanding dolar Singapura pada 3.4131/4163 daripada 3.4091/4115 penutup semalam, pada sedia dagangan awal pagi ini
Mata wang tempatan itu juga susut berbanding rupiah Indonesia kepada 309.2/309.7 daripada 308.1/308.5 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.286 daripada 8.286 /8.24 sebelum ini.
Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding baht Thailand pada 13.2897/3066 daripada 13.2924/3073 semalam.
Ringgit turut melanjutkan aliran penurunan berbanding dolar AS, melepasi paras 4.6 apabila dolar terus mengukuh berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).
Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan itu didagangkan pada 4.6090/6130 berbanding 4.5920/5950 pada penutup semalam.
Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran ekuiti AS berakhir lebih rendah semalam, manakala hasil perbendaharaan lebih tinggi, menunjukkan aset tradisional terjejas teruk oleh kebuntuan hutang negara itu dan ketidaktentuan mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).
Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS lalu menunjukkan bahawa ahli-ahli tidak sependapat mengenai dasar kenaikan kadar, namun sebulat suara untuk terus menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas.
“Siling hutang AS masih goyah kerana ahli politik mungkin menyebabkan kelewatan dalam keputusan, mengambil kira polarisasi landskap politik di AS. Akibatnya, Indeks dolar AS (DXY) meningkat 0.39 peratus kepada 103.889.
“Mengambil kira keadaan sedemikian, ringgit-dolar AS akan kekal lemah hari ini kerana peserta pasaran akan kekal defensif,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Afzanizam berkata, kadar inflasi United Kingdom (UK) yang lebih tinggi daripada jangkaan, mencapai 8.7 peratus pada April berbanding anggaran konsensus 8.2 peratus, mencadangkan bahawa bank pusat global berkemungkinan kekal defensif.
Tambah beliau, mod penghindaran risiko diburukkan lagi oleh pengumuman China baru-baru ini mengenai pengharaman penggunaan cip Micron dan pernyataan oleh kumpulan G7 hujung minggu lalu mengenai perang di Ukraine.
Mengenai pasaran tempatan, beliau berkata, ringgit kurang mendapat perhatian kerana peserta pasaran percaya Bank Negara Malaysia (BNM) hampir selesai dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Untuk itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Mata wang tempatan itu meningkat berbanding yen pada 3.3056/3087 daripada 3.3148/3172 penutup semalam, namun susut berbanding pound kepada 5.6981/7031 daripada 5.6877/6914 dan lemah berbanding euro kepada 4.9547/9590 daripada 4.9547/9590. – UTUSAN










