Proton capai pertumbuhan jualan 6.5 peratus pada April

Proton capai pertumbuhan jualan 6.5 peratus pada April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton, meneruskan permulaan kukuh bagi 2023 dengan mencatatkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut, berjumlah 9,415 unit pada April lalu, peningkatan 6.5 peratus tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu menjadikan jualan Proton sebanyak 49,702 unit bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, pertumbuhan 39.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Proton menjadi satu-satunya jenama automotif di 5 tangga teratas jadual jualan yang mencapai pertumbuhan jualan pada April, dengan pegangan pasaran dianggarkan 20.4 peratus, sekali gus engekalkan tempat kedua dalam jadual jualan automotif nasional.

“Secara keseluruhan, jualan pada April menyusut lebih 41.4 peratus selepas rekod tertinggi baharu dicatatkan pada Mac kerana Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan berjumlah 46,203 unit.

“Penurunan ini adalah bukan sahaja akibat tempoh cuti, tetapi juga penamatan tempoh penyerahan untuk pesanan yang dibuat semasa skim insentif bebas cukai PENJANA,” kata Proton dalam kenyataan.

Proton berkata, walaupun terdapat penurunan dalam TIV untuk April, tiga modelnya terus menjadi peneraju segmen keseluruhan untuk 2023 membuktikan keupayaan jenama untuk mengekalkan permintaan semasa bulan jualan yang perlahan.

Proton X50 kekal sebagai SUV segmen B terlaris dengan 2,644 unit diserahkan pada April dan kekal sebagai SUV terlaris keseluruhan di Malaysia.

Proton Persona pula yang mencapai 1,263 penyerahan pada bulan lepas membolehkannya kekal sebagai peneraju keseluruhan bagi pasaran sedan segmen B selepas empat bulan.

“Dengan 465 unit terjual, Proton Exora bukan sahaja mencapai bulan jualan terbaiknya untuk tahun ini, tetapi juga kekal sebagai peneraju jualan bagi MPV segmen C dengan 1,559 unit terjual setakat ini.

“Proton Saga masih mendahului semua model dari segi jualan dengan 3,949 unit diserahkan, menjadikan jumlah jualan sebanyak 21,395 unit untuk tahun 2023, yang turut meletakkannya di tempat kedua untuk jualan sedan segmen A.

“Proton X70 dan Proton Iriz pula mencapai 756 unit dan 338 unit, meletakkan mereka di tempat ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, dengan pelancaran Proton X90 secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual pada 7 Mei, syarikat akan mempunyai tiga model SUV untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen itu serta model pertamanya dalam pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) tidak lama lagi.

“Ini akan membantu membentuk asas yang baik untuk penawaran model masa depan kami dan memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada rangkaian pengedar Proton dalam aspek menjual dan menservis kenderaan ini,” kata Roslan.

Bagi eksport pula, Proton mencatatkan bulan terbaik untuk tahun ini dengan 187 unit dihantar ke pasaran luar negara. Model eksport paling popular ialah Proton Saga diikuti X50 dan X70. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN