Pharmaniaga catat PAT RM2.8 juta suku pertama 2023

Pharmaniaga catat PAT RM2.8 juta suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga)  mencatatkan keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) sebanyak RM2.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023, melantun semula daripada kerugian selepas cukai dan zakat (LAT) sebanyak RM644.2 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022.

Pharmaniaga dalam kenyataan berkata, prestasi tersebut menunjukkan status Nota Amalan 17 (PN17) baru-baru ini tidak menghalangnya daripada menunjukkan daya tahan dalam menavigasi keadaan pasaran yang mencabar.

Bagi tempoh sama,  syarikat merekodkan perolehan sebanyak RM880.5 juta, peningkatan 2.1 peratus daripada suku sebelumnya.

“Keputusan yang menggalakkan ini telah menetapkan momentum baharu yang membuka laluan prestasi Kumpulan yang menggalakkan pada suku tahunan 2023 yang akan datang,” katanya.

Bahagian Logistik dan Pengedaran merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM8.8 juta dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, ia disebabkan oleh normalisasi dalam jualan konsesi yang sebelum ini menyaksikan lonjakan berikutan penyambungan semula aktiviti perniagaan standard selepas wabak, manakala permintaan sejak itu kembali normal pada 2023.

Pengerusi Pharmaniaga, Izaddeen Daud berkata, cabaran baru-baru ini hanya mengukuhkan keazaman Pharmaniaga dan pihaknya yakin inisiatif strategiknya akan memacu syarikat ke arah masa depan yang lebih baik.

Katanya, Kumpulan berada di landasan untuk memuktamadkan pembaharuan konsesi pada akhir 30 Jun 2023.

“Kami kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan logistik dan pengedaran tanpa gangguan kepada pelanggan kami terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM) serta sektor swasta, menggariskan dedikasi teguh kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Kumpulan kekal berhati-hati dengan cabaran yang ditimbulkan oleh pengelasan semula kepada status PN17 serta kenaikan 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini.

“Walau bagaimanapun, kami tidak berputus asa dan yakin bahawa Pelan Regularisasi akan datang, akan meningkatkan ekuiti dan mudah tunai pemegang saham kami melalui pengurusan hutang berhemat dan peruntukan modal strategik,” ujarnya.

Beliau menjangkakan Kumpulan akan menyelesaikan pelaksanaan Pelan Regularisasi menjelang suku pertama 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN