PETALING JAYA: Petronas akan menjadi tuan rumah acara sulung, persidangan Energy Asia 2023 yang bertemakan `Merangka Laluan untuk Asia Mampan’ dari 26 hingga 28 Jun 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Persidangan yang dianjurkan bersama dengan rakan kongsi pengetahuan, CERAWeek by S&P Global itu akan membincangkan tentang cara Asia boleh mempercepatkan laluan karbon rendah dan melancarkan potensi baharu untuk sektor tenaga rantau ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Energy Asia datang pada masa kritikal untuk masa depan tenaga di Asia.
Katanya, Asia menyumbang separuh daripada pelepasan gas rumah hijau (GHG) dunia dan peralihannya yang berjaya kepada sifar bersih boleh menjadi pendorong kepada dunia untuk mencapai sifar bersih.
“Walaupun pelepasan memerlukan pengurangan drastik, transformasi sistem tenaga di rantau ini perlu holistik, bertanggungjawab dan dirancang dengan teliti yang kami harap dapat dicapai di Energy Asia.”
“Mengimbangi keperluan peralihan tenaga adalah lebih kritikal dalam pasaran baru muncul untuk memastikan kemajuan yang saksama dicapai di mana tiada siapa yang ketinggalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Energy Asia berkata, peralihan tenaga itu boleh disokong melalui dasar yang berkesan dan pembiayaan yang boleh diakses, sambil mengiktiraf cabaran dan peluang yang dihadapi oleh setiap negara berdaulat kerana ia bersaing dengan kepentingan negara.
“Asia perlu bertindak secara kolektif untuk mencari pemacu bersama yang setiap negara boleh berhubung dan mendorong ke arah masa depan karbon sifar bersih,” ujarnya.
Acara itu dijangka menarik lebih 2,000 delegasi dari seluruh dunia, termasuk pemimpin dari Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA), Persatuan Pengeluar Minyak dan Gas Antarabangsa (IOGP), serta pelbagai pegawai kanan dan pemimpin industri merentasi pelbagai industri dan negara.
Persidangan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan menampilkan wakil kerajaan yang lain termasuk Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad. – UTUSAN











