Pelopor pemikiran melangkaui keuntungan

Pelopor pemikiran melangkaui keuntungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2022, telah melaporkan bahawa pembiayaan yang diberikan oleh industri perbankan Islam (IPI) pada tahun lepas telah meningkat sebanyak 10.8 peratus kepada RM974.1 bilion. Ini merangkumi 44.5 peratus daripada keseluruhan pembiayaan yang diberikan industri perbankan pada 2022. Jumlah deposit IPI pula meningkat sebanyak 9.3 peratus kepada RM926.4 bilion, mewakili 41.6 peratus jumlah keseluruhan deposit industri perbankan negara.

Peningkatan ini adalah jauh lebih tinggi dibanding dengan statistik pertumbuhan industri perbankan konvensional yang mencatat pertumbuhan jumlah pembiayaan sebanyak 1.3 peratus dan peningkatan jumlah deposit sebanyak 1.2 peratus.
Hal yang sama dicatatkan oleh industri takaful. Walaupun bahagian pasaran (market share) aset dana takaful hanya mewakili 13.4 peratus dari keseluruhan aset dana industri, tetapi pertumbuhan tahunan industri takaful adalah sebanyak 8.9 peratus.

Sumbangan bersih takaful melonjak 18.1 peratus. Manakala, industri insuran hanya mencatatkan pertumbuhan aset dana sebanyak 1.1 peratus dan pertumbuhan sumbangan bersih insuran pada kadar 3 peratus.

Jika corak pertumbuhan ini berterusan, berkemungkinan pa­da masa akan datang, industri perbankan Islam dan takaful negara akan mempunyai bahagian pasaran yang lebih besar berbanding dengan industri perbankan konvensional dan insuran.

Kadar pertumbuhan sebegini amat baik untuk sesebuah IPI dan syarikat pengendali takaful (PT), kerana ia akan meningkatkan keuntungannya dan secara langsung membolehkan peme­gang sahamnya berpeluang menerima dividen pelaburan lebih tinggi. Sebagai contoh, jumlah keuntungan bersih IPI seperti Maybank Islamic, CIMB Islamic, Public Islamic, Bank Islam, Bank Muamalat dan RHB Islamic pada 2022, jika dikumpulkan, adalah sebanyak RM6.12 bilion. Berlandaskan keuntungan ini, jumlah zakat yang dikeluarkan oleh IPI ini hampir RM60 juta.

Jumlah keuntungan bersih PT seperti Great Eastern Takaful, Etiqa Family Takaful, Syarikat Takaful Malaysia dan Takaful Ikhlas pada 2022, jika dikumpulkan, adalah melebihi RM750 juta. Jumlah zakat yang dikeluarkan oleh PT tersebut berjumlah hampir RM20 juta.

Jika dilihat daripada pencapaian IPI dan PT ini, boleh dirumuskan bahawa kerangka perniagaan perbankan Islam dan takaful negara amat berkesan, kukuh dan menguntungkan. Walau bagaimanapun, persoalan yang perlu dibincangkan selepas ini adalah, bagaimanakah produk dan perkhidmatan IPI dan PT dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai golongan masyarakat seperti golongan asnaf dan pemilik syarikat perusahaan mikro dan kecil?

BNM dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 (PSK), telah menyatakan keperluan pertum­buhan ekonomi yang seimbang, terkehadapan, mampan dan inklusif. Dalam mencapai matlamat ini, PSK menekankan keadilan dan dorongan kendiri untuk mencapai kecemerlangan (ihsan), sebagai tunjung penting dalam usaha ini.

Ihsan pula adalah salah satu daripada enam rukun Malaysia Madani yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerangka dasar memartabatkan Malaysia sebagai negara makmur dan dihormati.

Tatkala, industri kewangan Islam Malaysia menjangkau dekad ke-40 pengwujudannya dan dengan prestasi memberangsangkan dicapai oleh IPI and PT, pemegang-pemegang taruh institusi-institusi ini, terutamanya di peringkat kepimpinan, harus cakna dan mempunyai peranan utama serta amanah penting untuk mengorak langkah mempelopori pemikiran melangkaui keuntungan (beyond profit) dan mengambil bahagian dalam usaha pembinaan negara (nation building). Melalui pendekatan sebegini, IPI dan PT akan berupaya untuk menzahirkan de­ngan lebih tuntas, keupayaannya sebagai institusi yang berlandaskan prinsip syariah. Ianya juga akan dapat meluaskan jaringan produk dan perkhidmatannya kepada golongan yang sebelum ini terpinggir dari sistem kewangan Islam negara, serta, dengan izinNya, berupaya untuk terus meningkatkan keuntungan perniagaan institusi mereka. Tepuk dada, tanya selera.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN