PETALING JAYA: Aktiviti pasaran hartanah mencatatkan lebih 89,000 transaksi jual beli bernilai RM42.31 bilion pada suku pertama 2023, menurun 5.7 peratus berbanding yang direkodkan pada suku sama tahun lalu, menurut data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Napic).
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata, penurunan tersebut dipengaruhi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Indeks Sentimen Pengguna (CSI) dan faktor bermusim dalam pembelian rumah yang lazimnya rendah semasa awal tahun.
Ujarnya, penurunan aktiviti di subsektor harta tanah kediaman dan pertanian masing-masing pada kadar 6.6 dan 12.5 peratus berbanding tahun lalu memberi kesan ke atas prestasi pasaran harta tanah keseluruhan.
“Penurunan ini diimbangi oleh peningkatan aktiviti di subsektor perdagangan dan tanah pembangunan, masing-masing meningkat 14.5 dan 2.8 peratus di dalam bilangan serta 22.1 dan 30.4 peratus di dalam nilai.
“Subsektor kediaman terus menyokong keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah dengan syer 60.5 peratus, merekodkan hampir 54,000 transaksi bernilai RM20.87 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Namun, jelas beliau, bilangan transaksi yang direkodkan pada suku dikaji adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun pra pandemik.
Katanya, kediaman dalam lingkungan harga RM300,000 dan ke bawah merekodkan 29,560 (54.8 peratus) bilangan transaksi, diikuti RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 13,325 (24.7 peratus) dan 500,001 dan ke atas sebanyak 11,038 (20.5 peratus) transaksi.
“Bilangan pelancaran baharu merekodkan hampir 4,700 unit, kurang berbanding tahun-tahun terdahulu. Prestasi jualan pula sederhana iaitu 25.7 peratus.
“Penurunan pelancaran baharu ini adalah seiring dengan penurunan jumlah lesen pemaju, permit dan iklan jualan perumahan baharu serta pembaharuan yang diluluskan oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan daripada 5641 lesen (Januari dan Februari 2022) kepada 2911 lesen (Januari dan Februari 2023),” ujarnya.
Abdul Razak berkata, status kediaman dan pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual terus positif apabila bilangannya menurun kepada 26,872 unit bernilai RM18.31 bilion pada suku pertama 2023, kesan daripada serapan pasaran di kesemua negeri kecuali Selangor.
“Selangor merekodkan jumlah tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 4,995 unit bernilai RM4.47 bilion, iaitu 18.6 peratus dari segi bilangan dan 24.5 peratus dari segi nilai seluruh negara.
“Ini diikuti oleh Johor (4,759 unit bernilai RM3.94 bilion), Kuala Lumpur (3,423 unit bernilai RM3.13 bilion) dan Pulau Pinang (3,138 unit bernilai RM2.48 bilion).
“Segmen pangsapuri khidmat juga menyaksikan penurunan marginal bilangan dan nilai siap dibina tidak terjual sebanyak 3.0 peratus setiap satu kepada 23,267 unit bernilai RM19.59 bilion,” ujarnya.
Walaupun peningkatan OPR dijangka memberi kesan, Abdul Razak menegaskan, pasaran harta tanah dijangka kekal optimistik yang berhati-hati.
“Di samping itu, prospek tenaga kerja di sektor pembinaan dan kenaikan harga bahan binaan akan turut memberi kesan kepada penawaran.
“Melihat kepada ekonomi negara yang diunjur berkembang sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun ini disokong oleh prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, pasaran harta tanah dijangka kekal optimistik dengan berhati-hati,” katanya. – UTUSAN










