NSPC dihidupkan semula – Anthony

NSPC dihidupkan semula – Anthony

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) menyaksikan Mohamed Safwan Othman (dua dari kiri) dan Mohd. Bakri Mohd. Zinin (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dalam usaha melonjakkan industri maritim domestik di Damansara, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang menghidupkan semula Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Malaysia (NSPC) dan dijangka akan mengadakan mesyuarat pertama dalam tempoh dua bulan akan datang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat tersebut bagi membincangkan hala tuju industri maritim, langkah-langkah untuk menangani isu semasa dan dasar-dasar berkaitan untuk memastikan industri kekal berdaya saing.

Beliau berkata, isu lain yang akan dibincangkan termasuk isu pembiayaan bank, isu penyelenggaraan kabel bawah laut dan cabaran berkaitan ekosistem industri perkapalan.

Jelas Anthony Loke, NSPC te­lah ditubuhkan pada 2018 semasa beliau menjadi Menteri Pengangkutan ketika itu, dan mengadakan mesyuarat secara berkala iaitu setiap tiga, empat bulan, namun pelaksanaannya terhenti selepas berlaku peralihan kerajaan.

“Majlis tersebut akan mendapat input daripada semua pihak. Kita boleh buat satu keputusan daripada maklumat yang diperoleh, jadi ia dapat membantu penggubalan dasar yg lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara Persatuan Bunkering Malaysia (MBA) dan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi MBA, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dan Pengerusi MASA, Mohamed Safwan Othman.

Beliau turut menjemput MBA dan MASA menganggotai NSPC dan tidak menolak kemungkinan untuk melibatkan syarikat teknologi jika terdapat keperluan bagi membincang perkara berbangkit.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, aktiviti bunkering iaitu operasi membekalkan produk petroleum atau bahan api ke kapal, merupakan subsektor industri maritim yang strategik, tetapi kurang diberi perhatian sebelum ini.

Justeru katanya, kerjasama antara MBA dan MASA menjadi titik permulaan yang baik dan sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan semua kewajipan dan syarat di bawah Konvensyen Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal (MARPOL) dilaksanakan dengan sempurna, termasuk penggunaan kapal Lambung Ganda Dasar Ganda untuk meningkatkan daya saing industri bunkering dan kelesta­rian alam sekitar.

Kata beliau, kapal-kapal tangki yang mempunyai Lambung Tunggal Dasar Ganda yang diserahkan sebelum Julai 1996, dibenarkan membawa minyak dan operasi mereka boleh diteruskan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Pembaharuan dalam syarat tersebut katanya, akan berkuat kuasa melalui Notis Perkapalan Malaysia (MSN) baharu dan akan dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia pada bulan ini dan dijangka berkuat kuasa 1 Jun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan meng­adakan pertemuan dengan syarikat-syarikat teknologi maklumat (IT) seperti Facebook dan Google pada minggu depan bagi membincangkan isu kabel dasar laut.

Katanya, sebagai menteri, beliau perlu memberikan keyakinan kepada syarikat-syarikat tersebut yang mahukan kepastian dan penjelasan berkaitan dasar projek berkenaan.

“Bagi pelabur, mereka mahukan kepastitan, jadi kami akan mendengar apa isu yang berbangkit dan apa yang boleh kami bantu untuk membantu mereka membuat keputusan berhubung pelaburan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×