MEASAT hubungkan warga ATM

MEASAT hubungkan warga ATM melalui jalur lebar berkelajuan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MEASAT Global Berhad (MEASAT) akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar satelit menerusi program CONNECTme NOW secara percuma kepada warga barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di pos-pos kawalan persempadanan terpencil terpilih di seluruh negara.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MEASAT yang merupakan Penyedia Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, sebagai sebuah syarikat tempatan yang komited dalam menyediakan liputan jalur lebar sehingga ke kawasan-kawasan paling terpencil di negara ini, MEASAT mengiktiraf dedikasi anggota ATM.

Kata beliau, MEASAT amat berbesar hati dengan kolaborasi itu serta memberi sokongan sepenuhnya kepada ATM dalam memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara.

“Berjauhan daripada insan tersayang bagi tempoh yang lama ada kalanya amat mencabar, oleh itu kami ingin memudahkan anggota tentera yang penuh dedikasi untuk berhubung dengan keluarga mereka menerusi platform CONNECTme NOW berkelajuan tinggi kami,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada MEASAT terutama usaha-usaha yang dapat memelihara kebajikan dan kesejahteraan anggota ATM sepanjang tempoh bertugas di pos-pos sempadan terpencil.

Jelas beliau, ATM juga menyambut baik usaha sektor swasta di Malaysia yang menyumbang kepakaran mereka terutama mewujudkan inisiatif yang menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang bertugas melindungi kedaulatan negara.

“Semoga kerjasama seperti ini dapat diperbanyakkan pada masa akan datang,” kata beliau.

Menurut MEASAT, CONNECTme NOW merupakan perkhidmatan Hotspot WiFi jalur lebar satelit prabayar dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar satelit bertumpukan komuniti bagi merealisasikan aspirasi jalur lebar negara.

Pada hari ini, CONNECTme NOW menyediakan 400,000 hubungan jalur lebar dalam komuniti yang tidak terhubung dan menetap di kawasan-kawasan luar liputan 4G atau terestrial di seluruh negara.

Keupayaan MEASAT dalam menyampaikan Jalur Lebar Satelit Berkelajuan Tinggi di seluruh negara menjadikannya rakan strategik untuk menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai 100 peratus liputan internet di kawasan-kawasan berpenghuni menjelang 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN