Malaysian Genomics tumpu biofarmaseutikal

Malaysian Genomics tumpu biofarmaseutikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) mencatatkan hasil sebanyak RM0.68 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (S3 2023), berbanding RM5.08 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Hasil yang lebih rendah disebabkan Kumpulan meneruskan usaha ke arah biofarmaseutikal sambil menumpukan pada pertumbuhan organik perkhidmatan pemeriksaan genetik.

Menurut syarikat itu, Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM3.24 juta bagi suku dalam tinjauan, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.95 juta.

“Ini sebahagian besarnya disebabkan peningkatan perbelanjaan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada, serta bersedia untuk memulakan pembangunan produk termasuk perkhidmatan reka bentuk biologi dan protein baharu yang akan membuka dua segmen pasaran baharu untuk Kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa yang sama katanya, kerja-kerja telah dimulakan untuk persediaan memulakan kajian sel stem mesenchymal Kumpulan untuk rawatan osteoarthritis, luka bakar dan strok, antara aplikasi lain, dengan tujuan mendapatkan kelulusan kawal selia daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai produk berdaftar secara klinikal pada masa hadapan.

Jelasnya, usaha itu memerlukan pelaburan tambahan dalam kepakaran saintifik, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan serta pemasaran.

Pengarah Eksekutifnya, Azri Azerai berkata, syarikat menganggap masa, usaha dan sumber untuk membina perniagaan biofarmaseutikal penting bagi pertumbuhan masa depan dan kemampanan Kumpulan.

Beliau berkata, syarikat yakin usaha itu akan memberi petanda yang baik untuk masa depan syarikat.

“Pada masa yang sama, kami akan terus mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan pemeriksaan genetik di mana kami mempunyai rekod prestasi yang panjang,” katanya.

Azri berkata, Kumpulan juga akan terus terlibat dengan rakan kongsi strategik di seluruh Asia Tenggara, rantau Afrika Utara, Asia Barah dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengembangkan rangkaian pengedaran bagi produk FMCG yang berkaitan dengan kosmeseutikal, penyembuhan luka dan program kecergasan berasaskan genetik.

“Kami juga baru-baru ini bekerjasama dengan Toticell Limited of Bangladesh untuk meneroka pengedaran produk kosmetik, ujian saringan genetik dan produk sel kami ke pasaran kira-kira 165 juta orang.

“Kami kekal komited untuk meningkatkan secara konsisten akses kepada ketepatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diperibadikan terkini,” katanya.

Sehingga 23 Mei 2023, harga saham MGRC berada pada RM0.53 sen, dengan modal pasaran berjumlah RM68.4 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN