PETALING JAYA: Malaysia menduduki tempat ketiga di belakang Russia dan Republik Czech dalam indeks kapitalisme kroni majalah The Economist terbaharu.
Indeks tersebut adalah yang mula-mula menganggarkan berapa banyak plutokrat keuntungan daripada industri ‘rent-seeking’ hampir sedekad lalu.
The Economist dalam terbitan terbaharunya berkata, kekayaan kapitalisme kroni telah meningkat daripada AS$315 bilion (RM1.4 trilion) atau satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global 25 tahun lalu kepada AS$3 trilion (RM13.37 trilion ) atau hampir tiga peratus daripada KDNK global ketika ini.
Katanya, kira-kira 65 peratus daripada peningkatan itu datang dari Amerika, China, India dan Russia.
“Secara keseluruhan, 40 peratus daripada kekayaan kapitalis kroni diperoleh daripada negara autokratik dan berjumlah sembilan peratus daripada KDNK mereka.
“Terdapat kira-kira 311 bilionair di seluruh dunia yang kebanyakan kekayaannya dipercayai diperoleh daripada sektor yang sering memaparkan urusan mesra dengan negara itu,” katanya.
The Economist yang telah menerbitkan catatan tahunan orang kaya dunia selama hampir empat dekad itu memberitahu, mereka mengira semua ini bermula dengan data daripada Forbes.
“Pada 1998, dianggarkan terdapat 209 bilionair dengan nilai keseluruhan AS$1 trilion (RM4.45 trilion), bersamaan dengan tiga peratus daripada KDNK global.
“Tahun ini, penerbitan itu memperincikan 2,640 bilionair bernilai AS$12 trilion (RM53.4 trilion) atau 12 peratus daripada KDNK.
“Melaraskan kenaikan harga iaitu AS$1 bilion (RM4.45 bilion) pada 1998, kini bersamaan dengan AS$3.3 bilion (RM14.7 bilion) menjadikan terdapat 877 bilionair (pada harga 1998) dengan nilai kolektif AS$9 trilion (RM40.1 trillion).”
The Economist telah mengklasifikasikan sumber kekayaan tersenarai setiap jutawan kepada sektor ‘rent-seeking’ dan bukan ‘rent-seeking’.
‘Rent-seeking’ ialah konsep ekonomi yang berlaku apabila entiti berusaha untuk memperoleh kekayaan tambahan tanpa sebarang sumbangan produktiviti timbal balik.
Lazimnya, ia berkisar tentang perkhidmatan sosial dan program perkhidmatan sosial yang dibiayai oleh kerajaan. – UTUSAN










