Malaysia Airports catat untung bersih RM58.2 juta

Malaysia Airports catat untung bersih RM58.2 juta suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad. (Malaysia Airports) mencatatkan untung bersih sebanyak RM58.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 berbanding kerugian RM104.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan syarikat itu, prestasi memberangsangkan tersebut dipacu oleh trafik penumpang antarabangsa yang meningkat lebih tiga kali ganda berbanding suku pertama tahun lalu, berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia pada April 2022.

Bagi tempoh yang sama, Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM1 bilion, 81.2 peratus lebih tinggi dari tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan juga melaporkan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM441.9 juta daripada RM186.9 juta setahun lalu.

Malaysia Airports berkata, sehingga akhir suku pertama 2023, trafik penumpang Kumpulan telah pulih sebanyak 79.9 peratus berbanding tahap pra pandemik.

“Operasi Kumpulan di Malaysia menyaksikan 18.7 juta pergerakan penumpang pada suku tersebut, peningkatan dua kali ganda daripada suku pertama 2022, dengan pemulihan keseluruhan 73.7 peratus berbanding tahap pra pandemik.

“Sementara itu, walaupun gempa bumi yang dahsyat di Türkiye Tenggara pada Februari, operasi Türkiye menyaksikan peningkatan sebanyak 25.4 peratus dalam pergerakan penumpang daripada suku pertama 2022 kepada 8.1 juta.

“Ini terutamanya didorong oleh pertumbuhan 34.4 peratus dalam pergerakan penumpang antarabangsanya,” katanya.

Tambah Malaysia Airports, kos Kumpulan meningkat secara sederhana seiring dengan peningkatan dalam trafik penumpang dan keperluan operasi yang sepadan.

Namun begitu, kos terasnya bagi setiap penumpang meningkat kepada RM16.50 setiap penumpang berbanding RM23.20 setiap penumpang pada suku pertama 2022, bukti usaha berterusan Kumpulan dalam menguruskan kos dan meningkatkan kecekapan serta produktiviti.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, Kumpulan yakin syarikat akan kembali kepada pertambahan nilai yang mampan di kedua-dua operasi Malaysia dan Turkiye dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia sejajar dengan pemodenan lapangan terbang yang berterusan, pendigitalan dan pemulihan komersial di seluruh rangkaian lapangan terbangnya.

“Selepas tempoh kemelesetan yang mencabar akibat pandemik, masa depan kini kelihatan jauh lebih cerah dan kami memberi tumpuan untuk membuat kemunculan semula yang kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN