KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) telah membantu lebih 27,000 Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Geran Digitalisasi PKS oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sejak 2020.
Ketua Segmen PKS Maxis, Kevin Lee berkata, buat masa ini syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu mempunyai kira-kira 90,000 pelanggan segmen perniagaan dan jumlah berkenaan dijangka bakal bertambah dalam tempoh suku ke suku tahun.
Menurut beliau, kerjasama rapat antara Maxis dan kerajaan membolehkan lebih banyak syarikat PKS beralih ke pendigitalan perniagaan mereka melalui geran yang ditawarkan.
“Ia sangat positif malah kami telah membolehkan lebih 27,000 PKS untuk memulakan perjalanan pendigitalan perniagaan mereka melalui kerjasama dengan kerajaan.
“Kami juga telah melihat peningkatan yang stabil dalam pangkalan data pelanggan sejak beberapa tahun kebelakang ini dan jumlah berkenaan dijangka akan berkembang secara berterusan suku ke suku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pembukaan Pusat Inovasi Bisnes Maxis (MBIC) di Menara Maxis, di sini semalam, yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
MBIC merupakan ruang imersif digital yang direka khas untuk menggalakkan inovasi dan mendorong transformasi digital untuk perniagaan.
Mengulas lanjut, Lee berkata, secara asasnya banyak PKS bergelut akibat pandemik Covid-19 sejak tiga tahun lalu namun peralatan pendigitalan asas seperti kebolehan untuk menerima pesanan secara atas talian dan menjalankan perniagaan di luar premis banyak membantu golongan berkenaan.
Jelas beliau, bagaimanapun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi PKS untuk memulakan perjalanan pendigitalan mereka termasuk kekurangan dari segi pengetahuan dan keyakinan berbanding perusahaan lebih besar.
“Pengambilan teknologi pendigitalan ini kebiasaannya bergantung kepada industri, sektor minyak dan gas secara amnya memiliki keperluan yang lebih banyak untuk pendigitalan.
“Manakala sektor lain dilihat lebih bertindak sebagai pengikut dan menunggu sehingga penyelesaian ditawarkan menjadi lebih mampu milik untuk mereka.
“Kerana itulah mengapa Maxis membuka MBIC supaya kami boleh membantu lebih banyak PJK bergerak kepada pendigitalan perniagaan disamping memahami lebih banyak peluang yang tersedia,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, kementeriannya telah diberi amanah untuk memacu ekonomi digital negara lebih ke hadapan disamping merupakan sebahagian daripada teras strategiknya.
“Perkara ini memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing melalui kolaborasi, inovasi dan perkongsian pengetahuan,” katanya.
Terletak di tingkat bawah Menara Maxis, MBIC merangkumi ruang lebih 9,000 kaki persegi di mana pelanggan boleh mengakses sebuah makmal loT, auditorium mini dengan teknologi terkini, ruang kerja bersama untuk berkolaborasi dan berinovasi, dan kes penggunaan pelbagai industri.
Kesemuanya didayakan oleh teknologi awan, Al, IoT, Pembelajaran Mesin, dan lebih lagi. Pusat ini akan memberi peluang kepada perniagaan pelbagai saiz dan merentas industri untuk memanfaatkan kuasa teknologi digital. – UTUSAN










