MUKADIMAH
PELABURAN adalah satu daripada jenis simpan untuk masa depan bagi memastikan kehidupan yang lebih terancang terutamanya pada hari itu.
Selain itu, pelaburan juga dapat membantu individu untuk mencapai matlamat kewangan pada masa akan datang seperti melabur satu tempoh masa bagi mendapat hasil untuk digunakan seperti memulakan perniagaan atau membayar deposit rumah.
Namun begitu, masih ramai lagi yang kurang peka dalam pelaburan pasaran ekuiti terutamanya bumiputera walaupun sudah banyak dana pelaburan yang patut syariah dalam pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, MAHANI IBRAHIM berkongsi dengan wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI mengenai pelaburan unit amanah dan kelebihannya.
UTUSAN: Apakah keistimewaan unit amanah atau dana pelaburan yang ditawarkan oleh PMB Investment berbanding produk lain yang ada di pasaran?
MAHANI: PMB Investment Berhad merupakan Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Sehingga kini, PMB Investment menawarkan 19 dana unit amanah patuh syariah pelbagai risiko buat semua rakyat Malaysia.
PMB Investment Berhad juga telah mengecapi banyak kejayaan dan pengiktirafan daripada industri melalui prestasi-prestasi dana di PMB Investment yang cemerlang.
Jelaskan kepentingan untuk membuat pelaburan dalam unit amanah sebagai satu daripada jenis simpanan untuk masa depan?
Dengan melakukan pelaburan, terutama sekali melalui pelaburan berkala, ianya dapat membantu kita untuk membina masa hadapan dengan lebih fokus dan terancang.
Faedah-faedah lain yang boleh kita perolehi melalui pelaburan ialah dapat bersedia menghadapi inflasi, membantu membuat persediaan untuk persaraan dan keperluan pendidikan
anak-anak serta membantu kita merancang dari sudut kewangan untuk capai matlamat kewangan kita di masa akan datang.
Pelaburan di unit amanah dapat memberikan peluang kepada pelabur-pelabur yang selama ini mungkin tidak tahu caranya tetapi amat berminat untuk menyertai atau mengambil peluang meraih keuntungan daripada pasaran saham.
Dengan melabur di dalam unit amanah, para pelabur menyerahkan tugas untuk membuat pelaburan di pasaran saham kepada pengurus dana yang berpengalaman dan berlesen.
Satu lagi keistimewaan pelaburan unit amanah ialah para pelabur tidak memerlukan amaun pelaburan yang besar untuk memulakan pelaburan.
Berbekalkan modal sebanyak RM100 sebagai contoh, pelabur berpeluang untuk menikmati pendedahan pelaburan kepada lebih daripada satu saham syarikat tersenarai (kebiasannya melebihi 10 sehingga 35 saham syarikat yang tersenarai).
Bagaimanakah kesedaran orang awam terutamanya Bumiputera dalam unit amanah atau dana pelaburan dan apakah cabaran yang dihadapi bagi menarik mereka untuk melabur?
Mengikut statistik semasa, penyertaan bumiputera di dalam pasaran ekuiti adalah dibawah 20 peratus dan ini boleh dikategorikan sebagai berada di tahap yang masih rendah.
Hal yang sama juga boleh dikaitkan dengan kesedaran orang awam berkenaan pelaburan dalam unit amanah yang masih lagi di peringkat yang rendah.
Melalui statistik dalaman syarikat, 50 peratus daripada pelabur adalah dari kawasan Lembah Klang, manakala yang lain nya dari bandar-bandar yang lain.
Penyertaan daripada kalangan masyarakat luar bandar masih lagi kecil dan antara cabaran yang dihadapi adalah berkaitan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menyimpan atau melabur untuk masa hadapan.
Selain itu, antara cabaran lain yang dihadapi dalam kalangan masyarakat di negara ini adalah keupayaan kewangan untuk menyimpan atau melabur itu sendiri.
Apakah usaha-usaha yang dilakukan untuk mempertingkatkan pelabur bumiputera?
Antara usaha yang kami jalankan adalah dengan memberikan kesedaran berkenaan kepentingan perancangan dan pengurusan kewangan.
Kami percaya kesedaran ini perlu dipupuk dari peringkat lebih awal terutamanya di dalam golongan bumiputera, supaya generasi muda lebih peka dan merasa perlu untuk mereka memulakan perancangan kewangan untuk masa depan yang lebih mampan.
Kami amat bertuah kerana kami berada di bawah payung Majlis Amanah Rakyat dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Jaringan ini dapat memberikan kami peluang untuk mencapai sasaran kami selain membantu meningkatkan capaian bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pengurusan dan perancangan kewangan.
Pelbagai aktiviti yang kami telah jalankan bagi memupuk kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat seperti Program #Ariflabur dan Seminar Bijak Mengurus Wang (SEMBAWANG).
Rakyat Malaysia boleh mengikuti PMB Investment Berhad di kesemua platform social media termasuklah Facebook, Instagram dan Tiktok untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan PMB Investment selain tips-tips pengurusan dan perancangan kewangan peribadi.
Apakah jenis-jenis dana pelaburan yang ditawarkan oleh PMB Investment dan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sehingga kini?
Dana-dana yang ditawarkan PMB Investment merangkumi pelbagai kelas aset termasuklah dana ekuiti, sukuk dan pasaran wang.
Kami mempunyai 14 Dana Ekuiti, satu Dana Sukuk, dua Dana Aset Campuran, satu Dana Pasaran Wang dan satu Dana Borong yang ditawarkan kepada para pelabur.
Setiap kelas aset ini juga mempunyai risiko yang berbeza dan dana-dana ekuiti sebagai contoh mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan dana-dana sukuk dan pasaran wang.
Sehingga 30 Mac 2023, aset di bawah pengurusan PMB Investment menghampiri RM1.5 billion. – UTUSAN










