PETALING JAYA: Kumpulan UMW mencatatkan jualan sebanyak 25,641 unit kenderaan pada April lalu, menjadikan jumlah jualan bagi empat bulan pertama tahun ini kepada 129,424 unit.
Kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua merekodkan jualan yang baik pada April walaupun bulan bekerja lebih singkat disebabkan cuti Hari Raya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya berbesar hati dengan jualan yang didaftarkan oleh UMWT dan Perodua pada bulan berkenaan.
“Setakat ini, kedua-dua syarikat juga telah mencatatkan jualan yang lebih tinggi berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu dengan gabungan bahagian pasaran yang bertambah baik sebanyak 54.1 peratus.
“Jumlah volum industri (TIV) juga telah meningkat sebanyak 10 peratus bagi empat bulan pertama 2023.
“Tempahan tertunggak untuk UMWT dan Perodua kekal menggalakkan. Kami optimis industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada 2023,” katanya dalam kenyataan.
UMWT mencatatkan jualan sebanyak 6,767 unit pada bulan tersebut, sedikit rendah berbanding jualan sebanyak 6,946 unit yang didaftarkan pada April 2022.
Bagi empat bulan pertama 2023, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 31,986 unit, pertumbuhan sebanyak 9.0 peratus berbanding 29,393 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Sehingga April 2023, bahagian pasaran UMWT ialah 13.4 peratus dan setakat ini, model terlaris ialah Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross.
UMWT menjangkakan permintaan dan jualan dapat dikekalkan sepanjang tahun, disokong oleh pengenalan model baharu dan kemas kini.
Untuk mengukuhkan lagi barisan modelnya, UMWT telah memulakan pengambilan tempahan untuk Lexus RX 350 serba baharu minggu lepas.
Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 18,874 unit pada April 2023 berbanding 25,654 unit yang didaftarkan pada April 2022.
Bagi empat bulan yang pertama 2023, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 97,438 unit, 12 peratus lebih tinggi berbanding 87,278 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Sehubungan itu, Perodua telah mencapai 31 peratus daripada sasaran jualannya untuk tahun ini iaitu sebanyak 314,000 unit.
Untuk empat bulan pertama 2023, Perodua telah meningkatkan bahagian pasaran ke 40.7 peratus daripada 39.1 peratus yang direkodkan pada 2022, dan dijangka akan terus memenuhi tempahan tertunggak yang menggalakkan. – UTUSAN










