KLIA perkenal STARdesk, EZBagz 

KLIA perkenal STARdesk, EZBagz 

ZAINUN Ali (dua kiri) dan Iskandar Mizal Mahmood (kanan) melihat kemudahan Ezbags bagi penumpang penerbangan pada Majlis Pelancaran Stardesk dan Ezbags di KLIA. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memperkenalkan dua kemudahan baharu kepada penumpang mereka iaitu platform pengurusan maklum balas, STARdesk dan daftar masuk bagasi sendiri dikenali sebagai EZBagz.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Zainun Ali berkata, pengenalan kedua-dua inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan standard perkhidmatan di KLIA, sekali gus mewujudkan pengalaman yang lebih lancar untuk penumpang.

“Kami berbangga memperkenalkan STARdesk iaitu sebuah platform pengurusan maklum balas. Sebagai pembekal perkhidmatan, maklum balas daripada pelanggan sama ada positif atau negatif adalah penting.

“Data tahunan pada tahun lalu menunjukkan 98.2 peratus aduan yang diterima telah diselesaikan dalam masa yang ditetapkan dengan memperoleh 87 peratus skor kepuasan daripada para pelanggan.

“Berdasarkan rekod prestasi yang kukuh itu, kami menjangkakan sistem baharu ini membolehkan maklum balas pelanggan dibalas dengan lebih pantas selain mengurangkan masa yang diambil untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya ketika berucap pada pelancaran STARdesk dan EZBagz di KLIA Terminal 1 hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua kemudahan tersebut merupakan sebahagian daripada transformasi digital Airports 4.0 yang telah dilaksanakan sejak 2018.

Ini kerana katanya, penyelesaian digital adalah penting dalam meningkatkan kecekapan dan memberi kemudahan serta keselesaan kepada komuniti di lapangan terbang.

“Kami telah memulakan proses transformasi melibatkan penyampaian perkhidmatan dan infrastruktur dalam mencapai matlamat untuk membawa lapangan terbang terutamanya KLIA kembali ke peringkat teratas kedudukan global,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, para penumpang yang menghadapi masalah di lapangan terbang boleh menghantar maklum balas atau aduan mereka dengan mudah melalui aplikasi, MYAirports dan pasukan pengurusan, STARdesk akan bertindak dalam masa 15 minit.

Manakala katanya, kemudahan EZBagz pula membolehkan penumpang mendaftar masuk bagasi mereka sendiri dengan lebih cepat dan cekap dengan setiap bagasi hanya mengambil masa 45 saat untuk proses itu.

Tambah beliau, enam unit baharu kiosk EZBagz telah dipasang di kaunter daftar masuk domestik Malaysia Airlines (MH) dari baris B3 hingga B8 di KLIA Terminal 1.

“Kami sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk memperkenalkan lebih banyak kemudahan EZBagz pada masa akan datang dengan menjalankannya secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN