Kaisar Farm sasar perluas pasaran daging dan baka lembu - Utusan Malaysia

Kaisar Farm sasar perluas pasaran daging dan baka lembu

Kaisar Farm (M) Sdn Bhd telah membawa masuk sebanyak 2,500 ekor lembu dari Thailand sejak tahun lalu dan ditempatkan di ladangnya di Kampung Mengkuang, Kubang Tiga, Chuping, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENTERNAKAN lembu secara fidlot sememangnya berpotensi dan menjanjikan pulangan lumayan bagi memenuhi permintaan bekalan daging di negara ini khususnya menjelang musim perayaan.

Di atas kesempatan itu, Kaisar Farm (M) Sdn. Bhd. cuba merebut peluang bagi mengembangkan lagi perusahaan ternakan lembu syarikat itu di Kampung Mengkuang, Kubang Tiga, Chuping, Perlis, susulan daripada permintaan memberangsangkan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Walaupun baharu sahaja beroperasi sejak lapan bulan lalu, syarikat berkenaan telah membawa masuk sebanyak 2,500 ekor lembu ternakan dari Thailand yang diusahakan secara fidlot di atas tanah berkeluasan 10 ekar (4.05 hektar).

Di samping itu, syarikat berkenaan juga telah berdaftar bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebagai syarikat Pengimport Haiwan Ternakan terutamanya membabitkan lembu pedaging dari Thailand.

Pengarah Urusan Kumpulan Kaisar Farm (M) Sdn. Bhd., Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim berkata, pihaknya berhasrat bagi menjalankan penternakan lembu secara moden melalui sistem yang komprehensif dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian meliputi pemberian bahan makanan berkualiti untuk hasil lebih baik.

NORAZAM Shah Ibrahim (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad (kiri) sewaktu menerima kunjungan di ladang ternakannya, baru-baru ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.

“Matlamat kami sebenarnya adalah untuk menampung pasaran Malaysia dengan membekalkan lembu pedaging daripada pelbagai jenis baka.

”Malah, kami sebelum ini turut menubuhkan Kaisar Agro Farm Thai Company Limited yang dibangunkan di Prachuap dan Narathiwat, Thailand bagi memudahkan urusan jual beli lembu pedaging masuk ke negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas mengenai cetusan idea bagi penubuhan syarikat itu, Norazam berkata, beliau dan adiknya, Nor Azlan Ibrahim, 40, mula meneroka bidang berkenaan secara serius berikutan mempunyai minat yang mendalam bagi ternakan lembu khususnya secara fidlot.

Kata Norazam, pihaknya juga telah melabur sebanyak RM13 juta bagi membangunkan ladang ternakan lembu itu yang terdiri daripada beberapa jenis baka antaranya baka KK (Kedah Kelantan) dan Brahman.

“Kawasan ladang ini secara keseluruhan adalah seluas 25 ekar (10.117 hektar) namun kami telah gunakan tanah sekitar 10 ekar (4.05 hektar) bagi penternakan lembu dan masih berbaki 15 ekar (6.072 hektar) lagi yang akan dikembangkan lagi selepas ini bagi pembinaan fidlot-fidlot serta kemudahan infrastruktur baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam berkata, bidang penternakan sememangnya berdepan pelbagai cabaran khususnya dalam memastikan keadaan kesihatan haiwan ternakan berada pada tahap yang baik dan tidak berdepan sebarang jangkitan.

Berikutan itu, Norazam berkata, pihaknya perlu memastikan lembu ternakan mereka mendapat vaksin mencukupi, pemakanan lengkap dan lokasi ternakan yang bersesuaian.

NORAZAM Shah Ibrahim

“Kami juga biasanya akan memasarkan lembu yang mencapai berat lebih 200 kilogram kepada orang ramai dan disebabkan itulah, kita amat menitik beratkan mengenai aspek penjagaannya,” katanya.

Buat masa ini, Norazam berkata, pihaknya menggunakan rumah sembelihan di Jelebu, Negeri Sembilan dan memasarkan daging lembu berkenaan sekitar Lembah Klang termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Katanya, pihaknya juga membangunkan beberapa infrastruktur termasuk mendirikan gudang makanan lembu sendiri dalam usaha bagi meminimakan kos operasi ternakan.

“Kebiasaannya kos bagi 200 ekor lembu untuk tempoh 180 hari adalah mencecah sehingga RM4.4 juta namun apabila kami ambil inisiatif bagi hasilkan makanan sendiri, penjimatan itu adalah amat besar iaitu pengurangan sebanyak RM4 juta,” katanya.

Sebelum terlibat dalam penternakan, Norazam bergiat aktif dalam beberapa perniagaan lain antaranya membabitkan sektor keselamatan dan pertahanan, penyimpanan senjata, minyak dan gas, penyiaran dan telekomunikasi serta pelbagai lagi.

Beliau juga sering mendapatkan ilmu dan maklumat berhubung penternakan moden menerusi kunjungan yang dilakukan di negara Thailand dan Australia.

LEMBU-lembu ternakan diusahakan Kaisar Farm (M) Sdn Bhd di Kampung Mengkuang, Kubang Tiga, Chuping, Padang Besar, Perlis diternak dengan penjagaan rapi bagi memastikan kualiti terbaik buat pembeli. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.

“Kaisar Farm juga menjalinkan hubungan baik dengan badan Islam di Australia iaitu Australian Halal Development & Accreditation (AHDAA) dan kami juga berhasrat untuk menjadi pembekal sumber daging dari Australia untuk diimport dan dieksport ke negara Islam lain,” katanya.

Tambah Norazam, pihaknya berhasrat melakukan integrasi bagi menternak sendiri baka lembu dengan jumlah sekitar 1,000 ke 2,000 ekor selepas bulan Jun nanti.

“Usaha itu sekali gus dapat membantu pihak kami untuk mengimport sendiri lembu-lembu yang diternak di Malaysia ke negara luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya