KUALA LUMPUR: Fraser and Neave Holdings Bhd (F&NHB) bakal menjadi pengeluar susu segar terbesar di Malaysia setelah fasa pertama projek ladang tenusu bersepadunya di Ladang Permai Damai, Gemas, Negeri Sembilan, siap Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, syarikat itu berada di landasan kukuh dalam mengurangkan kebergantungan kepada susu import selain menggalakkan pertumbuhan industri pertanian tempatan serta menyumbang kepada jaminan makanan di Malaysia.
Menurut beliau, F&NHB komited untuk menyiapkan fasa pertama projek ladang tenusu bersepadu berkenaan menjelang Disember tahun depan bagi mengukuhkan aktiviti hiliran kumpulan tersebut.
“F&NHB kini sedang di dalam proses penyediaan tapak termasuk pembersihan tanah sebelum mengemukakan Kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) dalam proses melantik rakan strategik bagi melaksanakan pelbagai aktiviti.
“Kami juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkepentingan bagi menyelesaikan keseluruhan pengeluaran susu segar,” katanya pada sidang media sempena taklimat keputusan kewangan separuh pertama 2023 F&NHB di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Yew Hoe berkata, apabila fasa pertama projek ladang tenusu bersepadudi Gemas, Negeri Sembilan itu siap kelak ia mampu menghasilkan 100 juta liter susu segar setahun.
“Susu segar berkenaan akan dihasilkan bermula 2025 mengikut fasa di mana perancangan kami adalah ia akan dihasilkan sebanyak 20 juta liter melibatkan lima juta liter susu segar setiap suku tahun.
“Kemudian jumlah berkenaan akan bertambah dari lima juta liter kepada 10 juta liter kemudian 15 juta liter sehinggalah ke 25 juta liter setiap suku tahun dan menjadikan jumlah 100 juta liter setahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, F&NHB menjangkakan pertumbuhan lebih baik bagi separuh kedua tahun kewangan (TK2023), disokong oleh permintaan domestik yang kukuh di Thailand, kemasukan pelancong dari China dan sumbangan daripada Cocoaland Holdings Bhd.
Menurut Yew Ho, F&NHB akan memberi tumpuan kepada jumlah dan pembangunan jenama bagi segmen makanan dan minuman (F&B) di Malaysia untuk enam bulan terakhir ini.
“Kami percaya langkah persediaan dan kos yang diambil akan mengurangkan cabaran dan dapat membantu perniagaan menjadi lebih baik berbanding separuh pertama tahun ini,” katanya.
Terdahulu, F&NHB mengumumkan keuntungan bersihnya bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2023 meningkat 8.6 peratus kepada RM102 juta berbanding RM93.9 juta tempoh sama tahun lalu didorong oleh prestasi unit perniagaan makanan dan minuman yang lebih baik.
Menurut F&NHB hasil kumpulan turut bertambah sebanyak 8.9 peratus kepada RM1,206.6 juta daripada RM1,107.7 juta lalu, diikuti peningkatan untung operasi Kumpulan sebanyak 15.1 peratus kepada RM126 juta.
Menurut Yew Hoe, prestasi kumpulan yang lebih baik itu berdasarkan beberapa keputusan perniagaan yang strategik sejak dua tahun lalu, membolehkan syarikat lebih berdaya saing, selain meletakkan asas untuk pertumbuhan seterusnya dalam pasaran.
“Permulaan tahun kami adalah sangat sibuk dan mula membuahkan hasil. Kami berjaya menempuh keadaan pasaran yang sentiasa berubah dan mencabar dengan strategi harga dan portfolio yang lebih baik.
“Tambahan lagi, pelaburan kami dalam penyelesaian pengurusan rantaian bekalan, pengurangan banjir dan tenaga boleh diperbaharui telah mula menunjukkan kecekapan kos dan logistik jangka panjang serta pengurusan risiko yang lebih baik untuk operasi kami,” katanya.
Mengulas mengenai jangkaan masa hadapan Yew Hoe berkata F&NHB optimis secara berhati-hati memasuki separuh kedua tahun fiskal berdasarkan pasaran yang terus pulih.
“Keputusan strategik kami telah meletakkan kami pada kedudukan yang kukuh untuk mempertahankan margin kami, mengukuhkan jenama kami dan membolehkan pertumbuhan pada masa depan,” katanya.
Sejajar dengan prestasi kumpulan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 27 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM99 juta yang perlu dibayar pada 1 Jun 2023. – UTUSAN









