PETALING JAYA: Firefly, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) semalam, memulakan operasi penerbangan antara Sabah dan Sarawak dengan pelancaran perkhidmatan penerbangan harian pergi balik dari Kota Kinabalu (BKI) ke Kuching (KCH), Tawau (TWU), Sandakan (SDK) dan Miri (MYY).
Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd. Azmi berkata, pelancaran dari BKI melambangkan komitmen syarikat untuk memastikan kesalinghubungan yang lebih baik untuk pelanggan yang melancong di Sabah dan Sarawak.
Katanya, perluasan itu susulan kejayaan pelancaran hab Pulau Pinang menghubungkan Malaysia Timur yang beroperasi semula pada April lalu.
“Memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan santai dan sokongan daripada badan pelancongan tempatan, kami teruja untuk memulakan perkhidmatan intra-Borneo sambil mengekalkan standard keselamatan dan hospitaliti Malaysia yang tertinggi.
“Ini akan memberi peluang untuk menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan lebih lanjut dengan Asia Utara, China dan destinasi ASEAN di sekitarnya sambil kami menambah lebih banyak pesawat B737-800 dalam Firefly,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, sebagai tambahan kepada laluan itu, pengembara dari destinasi antarabangsa seperti Phuket, Banda Aceh dan Medan juga akan dapat melanjutkan perjalanan mereka ke negeri-negeri Malaysia Timur melalui Pulau Pinang.
“Kami berharap dapat mengembangkan lagi rangkaian kami dan mengukuhkan kehadiran kami di rantau ini,” ujarnya.
Bagi memperingati peristiwa penting itu, Firefly bersama Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Persatuan Pelancongan Sandakan menganjurkan majlis pelepasan dan sambutan di BKI, KCH dan SDK untuk penumpang yang berlepas dan tiba dalam penerbangan sulung.
Pihak berkepentingan dan pihak berkuasa daripada badan pelancongan negeri masing-masing mengalu-alukan kedatangan penumpang yang melambangkan dedikasi Firefly dalam menawarkan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan. – UTUSAN










